Berita Auto

Pengganti Lamborghini Aventador Akan Dapat Enjin V12 Serba Baharu

Apabila Lamborghini memperkenalkan Aventador Ultimae beberapa hari yang lalu, ramai (termasuk kami) menyangka bahawa itulah model V12 terakhir dari Sant’Agata Bolognese. Nampaknya ini tidak benar kerana model pengganti Aventador bakal mempunyai trenkuasa hibrid dengan enjin V12 serba baharu. Perkara ini disahkan sendiri oleh ketua pegawai eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann.

Bercakap kepada Autoblog, Winkelmann berkata ia masih terlalu awal untuk mendedahkan maklumat terperinci seperti sesaran namun beliau menekankan bahawa enjin itu adalah sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini. Bukan itu sahaja, sistem hibridnya juga tidak ada kaitan dengan teknologi yang digunakan pada Sian.

“Teknologinya berbeza, ia adalah enjin serba baharu, trenkuasa serba baharu, bateri baharu, semuanya serba baharu. Tidak ada yang diambil dari Sian atau Aventador,” tegas beliau.

Namun begitu, ada beberapa elemen Aventador yang dikekalkan pada model yang akan datang itu. Antaranya adalah pembinaan gentian karbon, pacuan semua roda, teknologi aerodinamik aktif dan juga sistem stereng empat roda (four-wheel steering).

Penambahan pengecas turbo tidak pernah dipertimbangkan kerana menurut Winkelmann, sistem induksi paksaan (forced induction) hanya menambah berat dan memberikan tekanan berlebihan kepada enjin. Oleh kerana itu, aspirasi natural akan dikekalkan.

Previous post

Kakitangan Proton Mula Terima Suntikan Vaksin

Next post

Model Mercedes-Benz C-Class W206 Akan Datang Ke Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *