Berita Auto

Lamborghini Aventador Ultimae Versi Terakhir Sebelum Ketibaan PHEV Dan EV

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Lamborghini Aventador akan dihentikan pengeluarannya bagi memberi ruang kepada model-model hibrid dan elektrik yang akan datang. Sebagai tanda selamat tinggal kepada jentera V12 itu, Lamborghini telah memperkenalkan model edisi terhad yang dikenali sebagai Aventador LP 780-4 Ultimae.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-17

Boleh didapati dalam bentuk badan coupe (350 unit) dan roadster (250 unit), Aventador Ultimae menampilkan gabungan Aventador S dan Aventador SVJ ke dalam rekaannya. Ini boleh dilihat pada bahagian hadapan, di mana bamparnya menyerupai bampar S, manakala skirt sisi dan bampar belakang dengan muncung ekzos berkembar pula diinspirasikan oleh SVJ. Bagaimanapun, spoiler tinggi yang dipakai oleh model itu digantikan dengan spoiler aktif yang boleh ditetapkan pada tiga kedudukan.

Selaras dengan kod “LP 780-4” yang digunakannya, enjin aspirasi natural 6.5-liter V12 itu telah ditala bagi menghasilkan 780 PS, iaitu 40 PS lebih tinggi berbanding Aventador S dan 10 PS lebih tinggi berbanding SVJ. Tork kekal pada 720 Nm pada 6,750 rpm. Dengan pacuan semua roda dan nisbah berat-kuasa 1.98 kg/PS (sama seperti SVJ), ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat dan memecut sehingga 355 km/j.

Kawalan lateral dioptimumkan lagi menerusi ciri kawalan stereng empat roda yang diperkenalkan buat kali pertama pada Aventador S. Ciri ini memastikan pengendalian yang lebih lincah pada kelajuan rendah dan sederhana, dan kestabilan apabila kenderaan memecut pada kelajuan tinggi. Turut disertakan adalah Lamborghini Dynamic Steering yang respon stereng yang lebih responsif, serta mod pemanduan Strada, Sport, Corsa dan Ego.

Dari segi penampilan, Lamborghini menawarkan 18 pilihan warna standard namun pelanggan yang ingin tampil lebih menonjol boleh menggunakan khidmat divisyen Ad Personam yang menawarkan lebih 300 warna. Rim Dianthus berwarna perak berukuran 20 dan 21 inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero Corsa diberikan secara standard.

Di dalam, terdapat sulaman ‘Ultimae’ pada tempat duduk, manakala tiang A sebelah pemandu menampilkan cetakan nombor siri pengeluaran. Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah panel instrumen digital dan ciri Apple CarPlay dengan fungsi kawalan suara.

Lamborghini Aventador LP780-4 Ultimae
Previous post

Bentley Flying Spur Hybrid Diperkenalkan

Next post

Tata Harrier: Adakah Ia Akan Diterima Di Malaysia?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *