Berita Auto

Hyundai Custo – MPV 7 Tempat Duduk Khas Untuk Pasaran China

Setelah menayangkan Staria beberapa bulan yang lalu, Hyundai nampaknya bakal memperkenalkan satu lagi model MPV iaitu Custo. Bagaimanapun, tidak seperti pengganti Starex itu, Custo dilihat mempunyai saiz yang lebih kecil dan penggayaan yang lebih konvensional. Ia juga hanya akan ditawarkan di China.

Direka oleh Beijing Hyundai, iaitu syarikat usaha sama Hyundai di republik itu, Custo merupakan MPV tujuh tempat duduk dengan ukuran panjang 4,950 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,734 mm. Ini menjadikan ia 305 mm lebih pendek, 145 mm lebih sempit dan 256 mm lebih rendah berbanding Staria.

Gambar-gambar teaser yang disiarkan menerusi akaun Weibo syarikat itu menunjukkan model ini mempunyai rekaan gril parametrik dan lampu hadapan terintegrasi yang tidak ubah seperti Tucson generasi baharu. Selain itu, terdapat juga kemasan krom yang menghiasi sudut kiri dan kanan bampar hadapan.

Pandangan dari sisi pula mendedahkan pintu gelongsor dan garisan karakter tajam yang terbentang dari gerbang roda hadapan hingga ke tiang C. Bahagian belakang pula menampilkan lampu dengan grafik berbentuk C yang bersambung di tengah tailgate. Ia ditemani oleh tulisan ‘HYUNDAI’ yang dijarakkan.

Hyundai Custo Teaser

Custo dilaporkan akan hadir dengan enjin 1.5-liter yang menghasilkan 167 hp. Ia dijangka mempunyai pacuan roda hadapan bagi mengekalkan statusnya sebagai MPV mampu milik.

Adakah ia akan masuk ke pasaran Malaysia? Kemungkinan untuk Custo tiba ke tanah air kita boleh dikatakan tipis kerana ia merupakan model pemanduan tangan kiri. Jika Hyundai memutuskan untuk membawa masuk model ini sekalipun, mereka perlu menghasilkan versi pemanduan tangan kanan dan ini memerlukan belanja yang besar. Ditambah pula dengan persaingan dari model-model yang popular seperti Honda BR-V, Perodua Alza dan sebagainya, Hyundai mungkin tidak cukup berani untuk membuat taruhan yang besar seperti ini.

Previous post

McLaren 765LT Spider Model Convertible Paling 'Power' Dari Woking

Next post

Hennessey Rai Ulang Tahun Dengan 'Exorcist' Camaro ZL1 Edisi Khas

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *