Berita Auto

McLaren 765LT Spider Model Convertible Paling ‘Power’ Dari Woking

Pada Mac tahun lalu, kita diperkenalkan dengan 765LT yang merupakan jelmaan 720S yang lebih ringan dan berkuasa. Kini, McLaren mendedahkan pula versi bumbung terbuka iaitu 765LT Spider yang diasaskan daripada 720S Spider.

Seperti versi coupe, 765LT Spider juga tergolong dalam barisan Super Series dan pengeluarannya akan dihadkan kepada 765 unit untuk pasaran global. Di United Kingdom, supercar ini dijual pada harga bermula dari £310,500 (RM1.8 juta).

McLaren mendakwa model convertible ini menawarkan ketegaran struktur yang sama dengan versi coupe, dengan penambahan berat hanya 49 kg dari bumbung ‘hardtop’ yang boleh dibuka dan mekanisma yang berkaitan. Jika dibandingkan dengan 720S Spider, 765LT Spider adalah 80 kg lebih ringan dengan berat keseluruhan 1,388 kg.

McLaren 765LT Spider

Bumbung itu diperbuat daripada sekeping gentian karbon dan ia boleh dibuka dalam hanya 11 saat pada kelajuan sehingga 50 km/j. Menurut pengeluar supercar dari Woking itu, 765LT Spider mempunyai ketegaran struktur yang sangat tinggi sehinggakan ia tidak memerlukan sebarang sokongan tambahan. Turut disertakan struktur gentian karbon pada bahagian belakang yang berfungsi untuk memberikan perlindungan ‘rollover’.

Selain bumbung gentian karbon tersebut, 765LT Spider boleh dikatakan sama sahaja seperti 765LT coupe. Ia dikuasakan oleh enjin twin-turbo V8 berkapasiti 4.0-liter yang menghasilkan 765 PS dan 800 Nm, dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda belakang.

McLaren 765LT Spider

Prestasinya juga tidak menunjukkan sebarang perbezaan iaitu 2.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, 7.2 saat untuk mencapai 200 km/j dan kelajuan maksimum 330 km/j. McLaren berkata 765LT Spider merupakan model convertible terpantas yang pernah dihasilkannya.

Previous post

Audi RS Q e-tron Bakal Sertai Rali Dakar 2022

Next post

Hyundai Custo - MPV 7 Tempat Duduk Khas Untuk Pasaran China

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *