Berita Auto

Hyundai Staria Hadir Dengan Rekaan Ala Kapal Angkasa

Selepas menyiarkan beberapa imej teaser pada minggu lalu, Hyundai akhirnya mendedahkan sepenuhnya MPV terbarunya iaitu Staria. Percaya atau tidak, rekaan bahagian luaran model ini diinspirasikan oleh kapal angkasa.

Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan apa yang diperkatakan oleh syarikat itu, namun tidak dapat dinafikan bahawa rekaan Staria memang futuristik dan lain daripada apa yang biasa kita lihat pada kenderaan dalam segmennya.

Antara elemen yang menjadikan ia begitu unik adalah jalur lampu nyalaan siang LED yang merentangi bahagian hadapan, lampu utama yang diletakkan pada kedudukan yang rendah, serta lampu belakang menegak dengan rekaan Parametric Pixel seperti yang digunakan oleh Ioniq 5.

Varian Premium yang ditampilkan ini didatangkan dengan corak mesh yang menarik pada gril radiator, rim 18 inci serta trim gangsa pada logo Hyundai di hadapan, rim, cermin sisi dan pemegang pintu.

Jika bahagian luaran direka berdasarkan kapal angkasa, ruang dalaman Staria pula mengambil inspirasi daripada ruang lounge kapal pelayaran mewah dengan ciri-ciri seperti tingkap panorama yang luas dan pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Kelengkapan lain yang turut disediakan termasuklah panel instrumen digital berukuran 10.25 inci, skrin sentuh pada bahagian tengah papan pemuka, port USB pada konsol tengah dan pelbagai ruang storan.

Untuk tempat duduk pula, Staria Premium ini menawarkan konfigurasi 7, 9 atau 11 tempat duduk. Kerusi barisan kedua pada versi 7 tempat duduk menampilkan mod relaksasi di mana ia dibaringkan sepenuhnya, manakala pada versi 9 tempat duduk pula kerusi tersebut boleh dipusingkan 180 darjah untuk menghadap kerusi barisan ketiga. Apa yang menarik, Hyundai turut menawarkan versi dua tempat duduk untuk kegunaan komersial.

Previous post

McLaren 720S GT3X Dilancarkan Untuk Perlumbaan Pelanggan (McLaren Customer Racing)

Next post

Kereta Elektrik Cat Ora ES11 Spotted Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *