Berita Auto

Hyundai Tucson Serba Baharu Diperkenalkan

Setelah beberapa kali diacah, Hyundai Tucson serba baharu akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Ia merupakan model global yang akan ditawarkan dalam versi ‘short wheelbase’ dan ‘long wheelbase’ bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Menggunakan bahasa rekaan Sensuous Sportiness, model generasi keempat in tampil dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang diasimilasikan di dalam gril parametrik. Di belakang, lampu yang mendatar mempunyai bentuk segi tiga yang hanya dapat dilihat apabila ia menyala, sama seperti DRL di hadapan.

Untuk penampilan yang lebih kemas dan bersih, logo Hyundai dipindahkan dari tailgate ke cermin manakala pengelap cermin pula disembunyikan di bawah spoiler.

Bahagian dalaman Tucson yang digelar sebagai ‘Interspace’ menampilkan susun atur yang moden dan terbuka. Terdapat tiga teknologi baharu yang ditampilkan di sini iaitu skrin sentuh menegak berukuran 10.25 inci, sistem ventilasi udara dan kluster instrumen digital tanpa hud. Turut disertakan adalah pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Tucson boleh didapati dengan enjin petrol 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 190 PS dan 247 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditala untuk kecekapan dan pecutan.

Selain itu, Hyundai turut menawarkan enjin turbo 1.6-liter dengan sistem hibrid yang mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 230 PS dan 350 Nm. Versi hibrid plug-in yang menggunakan enjin yang sama akan menyusul kemudian.

Bergantung pada varian, Tucson dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda HTRAC yang telah ditambah baik. Di samping mod Eco, Comfort, Smart dan Sport sedia ada, sistem tersebut mendapat tambahan mod Mud, Sand dan Snow untuk pasaran-pasaran tertentu.

Tucson dilengkapi dengan sistem keselamatan Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri-ciri berikut:

  • Highway Driving Assist (HDA)
  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan pengesan pejalan kaki
  • Lane Keeping Assist (LKA)
  • Lane Following Assist (LFA)
  • Blind-Spot View Monitor
  • Blind-Spot Collision Warning (BCW)
  • Surround View Monitor
  • Reverse Parking Collision-Avoidance Assist (RPCA)
  • Remote Smart Parking Assist (RSPA)
  • High Beam Assist (HBA)
  • Driver Attention Warning (DAW)

Ciri-ciri lain termasuk Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) with Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Advanced Smart Cruise Control (SCC) dan Safe Exit Warning (SEW) ditawarkan secara pilihan.

Tucson memasuki pasaran Korea bermula bulan ini sebagai model tahun 2021. Ia juga bakal dilancarkan di Amerika Syarikat dan pasaran global lain sebagai model 2022 bermula suku pertama tahun hadapan.

Previous post

Ford Ranger Boleh Didapati Dengan Pakej Tremor di AS

Next post

Perodua Sumbang 7,700 Pelindung Muka Kepada 66 Sekolah Rendah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *