Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Gimik Jualan Kenderaan Elektrik Adalah Prestasi, Bukan Kerana Ia Mesra Alam

Kita semua sedia maklum yang kelebihan utama kenderaan elektrik (EV) adalah ia tidak memerlukan setitik bahan api pun untuk beroperasi, sekaligus menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam sekitar berbanding kereta berenjin pembakaran dalam, sama ada petrol atau diesel. Namun, berapa ramai yang anda kenal yang membeli EV kerana ia menawarkan emisi sifar dan tidak merosakkan lapisan ozon?

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-45

Malah jika anda perhatikan, perkara pertama yang diketengahkan oleh divisyen pemasaran pengeluar-pengeluar EV bukanlah emisi sifar dan kesannya terhadap alam sekitar, tetapi prestasi. Tidak percaya? Lihat sahaja tangkap layar laman web Nissan LEAF dan MINI Electric di bawah. Ia jelas lebih bertumpu kepada prestasi dan pengendalian walhal kedua-duanya bukan kereta sport pun.

Kedua-dua model ini adalah antara beberapa EV yang dijual di Malaysia pada masa ini. Ia sepatutnya dipasarkan sebagai alternatif ‘hijau’ kepada model-model setaraf lain yang sedia ada bagi mempromosikan mobiliti mesra alam, namun sebaliknya pula yang berlaku. Mungkin Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dan BMW Malaysia melihat yang rakyat Malaysia lebih mudah tertarik kepada angka-angka berkaitan prestasi seperti jumlah tork yang dihasilkan dan masa yang diambil untuk melakukan pecutan 0-100 km/j.

Jika anda perhatikan, apa yang dilakukan oleh Nissan dan MINI tidak jauh berbeza dengan Porsche untuk model Taycan di laman webnya. Tetapi ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Taycan memang dibangunkan sebagai sebuah model berprestasi tinggi yang sedia untuk beraksi di litar lumba bila-bila masa sahaja. Lagipun, penulis tidak rasakan pembeli Taycan ambil kisah sangat tentang kesan positifnya pada bumi. Apa yang mereka tahu, ia laju dan sedap dipandu.

Jadi di sini kita boleh simpulkan bahawa gimik pemasaran sebenar EV adalah kuasa dan prestasi yang ditawarkan, bukannya ‘sifar emisi’, ‘mesra alam’ atau ‘kos operasi yang lebih rendah’ seperti yang disangka ramai. Walau bagaimanapun, ini tidak akan mengubah hakikat yang EV sememangnya mempunyai kelebihan dari segi impak pada alam sekitar jika dibandingkan dengan kenderaan konvesional. Cuma ia membuatkan kami terfikir, adakah pembeli membeli EV kerana sayangkan alam sekitar atau kerana ia boleh memecut dengan laju?

Apa pun sebabnya, penerimaan EV di negara kita masih lagi berada di tahap yang rendah dan banyak lagi usaha yang perlu dilakukan jika kita mahu mengubah perkara ini.

Previous post

Mercedes-AMG G63 Ditukar Menjadi Brabus Rocket 900

Next post

Pemandu Sukarelawan Diperlukan Untuk Program Pengangkutan Percuma GoVax

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *