Berita Auto

Pemilik Kereta ‘Hellaflush’ Berdepan Hukuman Denda RM2,000 Atau Penjara 6 Bulan

Nampaknya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu pemilik kenderaan yang mengubahsuai kenderaan mereka dengan tayar ‘hellaflush’.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi PDRM baru-baru ini, pihak polis berkata bahawa pemilik kenderaan yang didapati bersalah melakukan ubahsuai tersebut boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Tindakan boleh diambil di bawah bawah Seksyen 6, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 170/59, iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut PDRM, pengubahsuaian tersebut boleh menyebabkan pemanduan terjejas akibat daripada kegagalan sistem keselamatan dan brek yang tidak berfungsi dengan cekap sehingga merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain.

Untuk memahami bagaimana trend tersebut boleh menjejaskan komponen sesebuah kenderaan, pertama sekali anda perlu tahu apakah itu ‘hellaflush’. Seperti yang boleh dilihat, trend ini melibatkan penggunaan rim besar dengan tayar yang diregangkan, serta sistem suspensi yang terlampau rendah untuk mendapatkan imej ‘slammed’ yang amat popular di serata dunia.

Tidak cukup dengan itu, komponen suspensi seperti lengan kawalan (control arm) turut diubahsuai bagi mendapatkan sudut ‘camber’ negatif, sekaligus menyebabkan tayar terkeluar dari gerbang roda atau ‘mengangkang’. Betul, ‘camber’ negatif boleh meningkatkan aspek pengendalian sesebuah kenderaan, sebab itulah ia selalu digunakan dalam sukan permotoran, namun sudut negatif yang berlebihan sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Secara ringkasnya, ‘camber’ negatif yang melampau akan memberikan tekanan kepada komponen sistem suspensi dan gandar. Disebabkan sudut roda yang ekstrem, tayar akan mengalami masalah kehausan pramatang dan tidak rata. Malah, kereta juga tidak boleh memecut atau perlahan seperti biasa.

Bukan itu sahaja, kereta dengan tayar ‘hellaflush’ juga sering bergesel dengan bonggol jalan dan ini boleh menyebabkan kerosakan serius pada bahagian bawah kenderaan tanpa disedari oleh pemandu.

Sudah tentu, penulis faham bahawa setiap individu mempunyai citarasa masing-masing namun dengan risiko keselamatan kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain, adakah ia masih berbaloi untuk melakukan modifikasi berkenaan?

Previous post

Ford Performance Bronco 4600 Off-Road Racer Didedahkan

Next post

DFSK Glory 580 SUV Tujuh Kerusi Mungkin Dilancarkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *