Bisnes

Geely Catat Jualan 1.32 Juta Unit Pada 2020

Geely telah mengumumkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 1,320,217 unit kenderaan sepanjang 2020, termasuk kenderaan Lynk & Co. Ini bermakan syarikat itu berjaya mengatasi sasaran tahunannya yang telah disemak semula akibat penularan wabak COVID-19.

Walaupun pasaran automotif China ditutup pada suku pertama akibat pandemik itu, Geely Auto dan Lynk & Co telah menyaksikan pertumbuhan dalam pegangan pasaran. Geely Auto juga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama China paling laris bagi tahun keempat berturut-turut.

Untuk tahun 2021, Geely menetapkan sasaran tahunan sebanyak 1.53 juta unit atau 16% lebih tinggi berbanding pencapaiannya tahun lalu. Syarikat itu akan menumpukan usahanya terhadap strategi produk menerusi pengenalan model-model baharu.

Menurut Geely, mereka akan memperkenalkan model SUV dan sedan berasaskan platform CMA baharu serta beberapa model yang dinaik taraf. Bagi Lynk & Co pula, selain model elektrik sepenuhnya ZERO versi produksi, syarikat itu juga akan memperkenalkan model pertamanya yang dibina menggunakan platform SPA.

Melihat kembali pada tahun 2020 yang sangat mencabar untuk keseluruhan industri automotif, Geely berjaya menutup tirai tahun lalu dengan beberapa pencapaian yang bermakna. Ini termasuk menjadi jenama China pertama yang melepasi angka jualan 10 juta unit.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga mencatat pertumbuhan sebanyak 25.3% dari segi jualan eksport dengan 72,700 unit. Antara pasaran yang ditembusi termasuklah Rusia, Filipina, Kuwait, Arab Saudi dan Myanmar.

Geely juga melancarkan model-model baharu yang berasaskan platform CMA iaitu Preface dan Xing Yue. Selain itu, tahun lalu juga menyaksikan pelancaran model segmen B yang menggunakan platform BMA iaitu ICON. Dilancarkan ketika pandemik sedang memuncak, ICON juga merupakan antara model pertama Geely yang dilengkapi dengan sistem pembersihan udara Intelligent Air Purification System (IAPS) bertaraf N95.

Previous post

Toyota GR Supra 2.0 Masuk Pasaran UK

Next post

Jualan Global Volvo Jatuh 6.2% Pada 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *