Berita Auto

Toyota GR Supra 2.0 Masuk Pasaran UK

Selepas setahun dilancarkan di Eropah, Toyota GR Supra 2.0 akhirnya tiba ke pasaran United Kingdom, di mana ia dijual pada harga £45,995 (RM251,150).

Walaupun mempunyai kuasa dan tork yang lebih rendah, GR Supra 2.0 tetap mempunyai kelebihan tersendiri terutamanya dari segi berat dan keseimbangan casis.

Dihasilkan oleh BMW, enjin 2.0-liter empat silinder yang dilengkapi dengan pengecas turbo twin-scroll itu menjana 254 bhp pada 5,000 – 6,000 rpm dan 400 Nm dari 1,550 hingga 4,000 rpm. Transmisi automatik lapan kelajuan yang menggerakkan roda belakang membolehkan jentera ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Penampilan model ‘entry level’ tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan varian 3.0, cuma ia dilengkapi dengan rim 18 inci manakala muncung ekzos pula mempunyai ukuran diameter 90 mm berbanding 100 mm pada varian yang lebih berkuasa itu. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport berukuran 255/40 di hadapan dan 275/40 di belakang.

Menurut Toyota, varian ini bukan sahaja 100 kg lebih ringan, malah enjinnya yang lebih kompak menjadikan lebih mudah untuk mencapai keseimbangan berat 50:50. Ini memberikannya pengendalian yang lebih responsif dan lincah.

Bercakap tentang pengendalian, GR Supra 2.0 turut dilengkapi dengan stereng sport sensitif kelajuan dan Active Differential yang membolehkan ia memecut keluar dari selekoh dengan lebih pantas. Sistem brek pula terdiri daripada cakera 348 mm di hadapan dan 345 mm di belakang, dengan angkup Brembo.

Untuk pasaran UK, GR Supra 2.0 ditawarkan dalam spesifikasi Pro yang merangkumi ciri-ciri standard seperti rim aloi 18 inci, sistem audio 100W dengan empat pembesar suara, skrin sentuh 8.8 inci dan tempat duduk dengan balutan Alcantara dan ciri pemanas.

Di samping itu, Toyota turut menawarkan 45 unit edisi Fuji Speedway. Model edisi terhad ini didatangkan dalam warna putih metalik dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam matte, cermin sisi berwarna merah, trim gentian karbon pada papan pemuka dan upholsteri kulit merah dan Alcantara hitam. Ia dijual pada harga £47,395 (RM258,795) untuk edisi Fuji Speedway.

Previous post

Jeep Grand Cherokee Generasi ke-5 ‘L’ Debut Dengan 3 Baris Tempat Duduk

Next post

Geely Catat Jualan 1.32 Juta Unit Pada 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *