Berita Auto

Sebuah Lagi Ford Mustang Terbabas

Jika anda sering mengikuti perkembangan dunia permotoran, anda mungkin menyedari bahawa Ford Mustang sering kehilangan kawalan dan terbabas. Kejadian seumpama ini bukan sahaja kerap berlaku di negara kelahiran Mustang iaitu di Amerika Syarikat, malah di Malaysia juga sudah beberapa kali jentera ini dilihat terlibat dalam kemalangan.

Di sini, terdapat satu lagi contoh di mana Mustang terlanggar objek selain pengguna jalan raya lain. Dalam kes ini, ia dilihat bertembung dengan tembok penghalang bunyi. Kami tidak pasti di mana dan bila kejadian malang ini berlaku, namun ia sudah pasti terjadi di Lembah Klang.

Melihat kepada dua gambar yang dibekalkan, Mustang berwarna kuning itu mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian bampar hadapan dan hud, manakala rim sebelah kiri bahagian hadapan nampaknya tidak boleh diselamatkan lagi. Tiada kenderaan lain dilihat terlibat dalam kejadian ini dan jalan juga nampak kering, bermakna kemalangan mungkin berlaku akibat kecuaian pemandu. Ataupun beliau terbabas selepas cuba mengelak daripada terlanggar kenderaan lain.

Walau apapun sebabnya, ingatlah bahawa Mustang adalah kereta sport pacuan roda belakang (RWD) dan seperti mana-mana kereta sport RWD yang lain, ia cenderung untuk ‘membuang’ atau bergerak secara ‘sideways’ terutamanya apabila pemandu tidak berhati-hati dengan input stereng dan pendikit. Warna Yellow Tri-Coat dan rim Y-spoke menunjukkan bahawa unit yang terlibat ini adalah sebuah varian GT yang mempunyai enjin 5.0-liter V8 dengan 416 PS dan 530 Nm

Pada zaman sekarang di mana sebuah A-Class pun mempunyai 421 PS, kuasa kuda dan tork yang dimiliki oleh Mustang GT mungkin tidak seberapa bagi sesetengah orang namun dengan 100 peratus daripada kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang, ia boleh menjadi agak sukar untuk dikawal oleh pemandu yang kurang berpengalaman.

Jadi, kepada semua pemilik Mustang di luar sana, cuba bertenang setiap kali anda menghidupkan enjin jentera anda. Tidak dinafikan yang bunyi ngamuan enjin V8 itu pasti akan menggoda anda namun ingatlah yang ia tidak berbaloi dengan ego yang tercalar yang anda akan alami.

Previous post

Toyota C+pod Dilancarkan Di Jepun

Next post

Bentley Mulliner Kini Menawarkan Trim Tweed Untuk Pintunya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *