Berita Auto

Mercedes-AMG A35, A45 S Masuk Pasaran Malaysia

Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan tiga model kompak Mercedes-AMG iaitu A35 4Matic Edition 1, A45 S 4Matic+ Edition 1 dan CLA45 S 4Matic+.

A35 4Matic Edition 1 (RM379,888)

Merupakan varian ‘entry level’ dalam barisan Mercedes-AMG A-Class, A35 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 306 hp dan 400 Nm.

Dilengkapi dengan transmisi AMG Speedshift DCT 7 kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Dari segi penampilan, model ini hadir dengan pakej AMG Aerodynamics berserta Night Package dan rim AMG berukuran 19 inci dengan kemasan perak. Lampu Multibeam LED dan cermin sisi elektrik turut disertakan secara standard.

Seperti yang dijangka, ruang kabin turut dihiasi dengan pelbagai kelengkapan AMG dan ini termasuk karpet lantai, rim serta tempat duduk. Sistem multimedia pula terdiri daripada sistem MBUX lengkap dengan Apple CarPlay, Android Auto serta modul LTE untuk servis Mercedes Me Connect.

A45 S 4Matic+ Edition 1 (RM459,888)

Sebagai varian paling berkuasa dalam barisannya, A45 S menawarkan tahap prestasi tertinggi yang dicapai menerusi penggunaan enjin turbo M139 2.0-liter empat silinder.

Dibina di Affalterbach dengan prinsip “One Man, One Engine”, enjin tersebut menghamburkan 421 hp dan 500 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 40 hp dan 25 Nm berbanding enjin yang digunakan pada A45 sebelum ini.

Enjin tersebut dipadankan dengan AMG Speedshift DCT 8 kelajuan yang membolehkan ‘hot hatch’ ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat. Ia juga boleh memecut sehingga mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

Kelebihan sistem pacuan semua roda 4Matic+ adalah ia mempunyai AMG Torque Control yang ditugaskan untuk membahagikan tork antara roda kiri dan kanan gandar belakang. Apa yang menarik, ia juga didatangkan dengan mod Drift yang menjadikan pemanduan lebih mengujakan.

Previous post

Proton Lantik Roslan Abdullah Sebagai Naib Presiden, Jualan & Pemasaran

Next post

Mercedes-AMG CLA45 S Dilancarkan - RM448,888

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *