Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha MT-07 Tampil Dengan Reka Bentuk Lebih Garang, Enjin Euro 5

Selepas memperkenalkan MT-09 beberapa hari yang lalu, Yamaha kini memperkenalkan pula ‘adik’ kepada model itu iaitu MT-07.

Jadi, apa yang baru? Bermula dengan reka bentuk, motosikal ‘naked’ saiz pertengahan itu kini mempunyai lampu projektor LED kompak yang diapit oleh sepasang jalur lampu nyalaan siang LED.

Ia juga mempunyai reka bentuk badan baharu dan lubang ambilan udara ‘winglet’ yang terletak di hadapan tangki minyak. Selain itu, terdapat juga lampu isyarat LED kompak dan skrin LCD dengan grafik yang jelas dan moden.

Untuk menyerlahkan lagi penampilan agresif motosikal ini, pereka di Yamaha turut memberikan pilihan warna dan grafik baharu, serta beberapa komponen berwarna hitam termasuk tuil brek dan klac.

‘Nadi’ MT-07 merupakan enjin DOHC empat lejang berkapasiti 689 cc dengan silinder berkembar yang menghasilkan 73.4 PS pada 8,750 rpm dan 67 Nm pada 6,500 rpm, di samping transmisi enam kelajuan. Enjin itu kini patuh piawaian emisi Euro 5, terima kasih pada tetapan penyuntik bahan api yang dioptimumkan, ECU yang dipertingkatkan serta sistem ekzos 2-1 baharu.

Dari segi tunggangan, bar hendal aluminium yang lebih lebar sepanjang 30 mm serta kedudukan pelana yang dikekalkan pada ketinggian 805 mm memberikan posisi menunggang yang lebih meyakinkan. Tayar Michelin Road 5 pula menyumbangkan kepada pengendalian yang lebih sporty dan selamat.

Seperti sebelum ini, rangka jenis ‘diamond’ MT-07 dihubungkan dengan fork teleskopik dan suspensi ‘link-type’ dengan lengan ayun berkembar. Cakera brek hadapan yang lebih besar berukuran 298 mm yang diapit angkup empat piston memberikan prestasi brek yang lebih banyak tanpa sebarang berat tambahan.

MT-07 baharu dijangka memasuki pasaran Eropah bermula tahun hadapan. Harga masih belum diumumkan dan ketibaannya di Malaysia masih belum dapat dipastikan.

Previous post

Honda CR-V Facelift Dilancarkan di Malaysia

Next post

Volvo Cars Buka Makmal Motor Elektrik Di China

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *