Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha YZF-R15M Dilancarkan Pada Harga Bawah RM15,000

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Yamaha YZF-R15M, sebuah model berprestasi yang diinspirasikan daripada penggayaan dan teknologi pada jentera lumba YZF-R1M dan YZR-M1.

Menurut HLYM, model ini boleh didapati menerusi wakil pengedar bertauliah Yamaha mulai 30 Jun. Ia dijual pada harga RM14,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans dan boleh didapati dalam dua warna iaitu Signature M dan Monster Energy Edition.

Bukan itu sahaja, setiap pembeli juga akan dimasukkan ke dalam program keahlian M-CRU, di mana ahli berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Track Day eksklusif, konvoi khas MotoGP, kursus tunggangan, selain berpeluang memiliki pelbagai cenderamata khas.

R15M dikuasakan oleh enjin sejukan cecair, empat lejang SOHC silinder tunggal LC4V bersesaran 155 cc yang menghasilkan 19 hp (14.2 kW) pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm pada 8,500 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan Variable Valve Actuation (VVA) yang berfungsi untuk mengatur bukaan injap untuk lontaran kuasa yang lebih baik dan penjimatan bahan api.

Tugas menyalurkan kuasa diserahkan kepada transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan sistem Quickshifter dan klac Assist & Slipper yang menjadikan penukaran gear yang lebih lancar.

Untuk casis pula, R15M didatangkan dengan fork depan terbalik dengan kemasan berwarna emas dan rekaan bar hendal ‘triple clamp’ yang diinspirasikan daripada M1. Bukan itu sahaja, tayar belakang bersaiz 140/70 memberikan prestasi cengkaman maksima semasa mengambil selekoh.

Turut disertakan adalah Traction Control System (TCS), meter digital penuh LCD dengan mod paparan Street dan Track, serta ciri Yamaha Y-Connect. Untuk keselamatan pula, model ini mempunyai ABS dwi-saluran dan tongkat sisi dengan suis pemati enjin.

Dengan kehadiran ciri-ciri keselamatan tersebut, R15M diberikan pengiktirafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) di bawah Program Penilai Motosikal Malaysia (MyMAP).

Previous post

Saingan Baharu Kenderaan Semua-Elektrik - Dari Mazda - MX-30 - Hanya RM198,780

Next post

Adakah Anda Akan Membeli BMW 2 Series Edisi Terhad Yang Disesuaikan Secara Tempatan?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *