Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha MT-09 2021 Diperkenalkan

Yamaha telah memperkenalkan MT-09 untuk model tahun 2021. Motosikal ‘naked’ ini boleh dikira sebagai model serba baharu kerana ia bukan sahaja menampilkan reka bentuk lebih segar, malah casis, enjin serta pakej elektronik turut dikemaskini secara menyeluruh.

Lampu utama berkembar pada model sebelum ini telah digantikan dengan lampu tunggal seperti ‘cyclops’ yang dikelilingi oleh sepasang lampu nyalaan siang yang langsing. Lampu belakang pula menampilkan grafik ‘Y’ yang menarik.

MT-09 menggunakan casis aluminium Deltabox baharu yang lebih ringan (-2.3 kg) yang dipadankan dengan fork boleh laras 41 mm dan suspensi monoshock belakang yang juga boleh dilaras menerusi tetapan baharu. Ia juga mempunyai linkage yang direka semula supaya sesuai dengan lengan ayun baharu yang lebih tegar.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan rim baharu yang dikatakan 700 g lebih ringan berbanding rim sebelum ini. Ia bukan sahaja mengurangkan inersia sebanyak 11% pada bahagian belakang, malah turut menyumbang kepada penjimatan bahan api sebanyak 9%.

Untuk 2021, Yamaha turut menambahbaik enjin MT-09 bagi menjadikan ia lebih ringan dan berkuasa. Pertama sekali, lejang (stroke) enjin tiga silinder itu ditambah sebanyak 3 mm dan ini secara tidak langsung meningkatkan kapasiti dari 847 cc kepada 890 cc.

Dengan kapasiti yang lebih besar, kuasa yang dihasilkan turut meningkat kepada dari 115 PS sebelum ini kepada 119 PS pada 10,000 rpm. Tork bukan sahaja meningkat dari 87.5 Nm kepada 93 Nm, malah memuncak lebih awal iaitu pada 7,000 rpm berbanding 8,500 rpm sebelum ini.

Satu lagi penambahbaikan adalah melibatkan sistem suntikan bahan api yang telah dialihkan ke bahagian intake. Ini bukan sahaja menjadikan enjin lebih cekap bahan api, malah membantunya mendapatkan piawaian emisi Euro 5. Seperti sebelum ini, kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan.

Dari segi teknologi, MT-09 kini dilengkapi dengan sistem IMU 6-paksi yang dibangunkan daripada R1. Sistem ini ditugaskan untuk menguruskan bantuan ciri-ciri bantuan penunggang, termasuk Traction Control System, Slide Control System, Front Wheel Lift Control System dan Brake Control System.

Ciri-ciri baharu yang lain termasuklah sistem Quick Shifter, paparan TFT berwarna penuh berukuran 3.5 inci dan ‘radial master cylinder’ baharu untuk brek hadapan.

Previous post

Taj Aiman Naib Juara Piala GR Supra GT Asia

Next post

Sanggupkah Anda Bayar RM199k Untuk Aston Martin Cygnet Ini?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *