Berita Auto

Maserati Buka Lembaran Baharu Dengan MC20

Akhirnya, Maserati memperkenalkan supercar terbaru mereka iaitu MC20, yang merupakan singkatan kepada ‘Maserati Corse 2020’. Ia boleh didapati dalam versi petrol yang dikuasakan oleh enjin Nettuno atau buat pertama kalinya dalam sejarah jenama itu, versi elektrik sepenuhnya.

Dibangunkan sendiri oleh Maserati, enjin 3.0-liter V6 90-darjah itu dibantu oleh dua pengecas turbo bagi membolehkannya menghasilkan 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm dari 3,000 rpm, atau 210 PS bagi setiap liter.

Dilengkapi dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, MC20 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Sementara itu, versi elektrik pula dikatakan boleh melakukan pecutan tersebut dalam 2.8 saat dengan jarak pemanduan 323 km. Maklumat lanjut mengenai model ini akan didedahkan tidak lama lagi. Maserati juga dilaporkan akan memperkenalkan versi convertible.

Menurut Maserati, reka bentuk MC20 mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan, dengan aerodinamik sebagai fokus utama. Ia diuji selama dua ribu jam di dalam terowong angin dan hasilnya, model ini mempunyai pekali seret di bawah 0.38.

Rekaan ruang dalaman pula mengenengahkan konsep minimalis dan setiap komponen mempunyai kegunaan tersendiri. MC20 mendapat dua skrin, masing-masing berukuran 10 inci. Satu untuk kokpit dan satu lagi diletakkan pada konsol tengah.

Konsol tengah tersebut diperbuat daripada gentian karbon dan hanya mengandungi beberapa kelengkapan seperti pengecas tanpa wayar, pemilih mod pemanduan, butang tingkap, butang kawalan sistem multimedia dan ruang penyimpanan di bawah perehat tangan. Butang kawalan yang lain diletakkan pada stereng, dengan butang penghidup enjin pada sebelah kiri dan Launch Control pada sebelah kanan.

Previous post

Kereta Elektrik BYD Han Dilancarkan Di China

Next post

Honda Malaysia Serah 40 Unit Civic Kepada ATM

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *