Gaya Hidup

Nissan GT-R NISMO Kini Dalam Bentuk Lego Speed Champions

Barisan Lego Speed Champions nampaknya terus berkembang, kali ini dengan penambahan supercar Jepun yang popular iaitu Nissan GT-R NISMO. Apa yang menarik, ini merupakan kali pertama Lego dan Nissan menjalinkan kerjasama.

Sesuai untuk kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas, set ini mengandungi sebanyak 298 kepingan Lego yang apabila siap dipasang, akan membentuk elemen-elemen yang terdapat pada model sebenar seperti gril V-motion, splitter hadapan dan skirt sisi berwarna merah, spoiler besar serta lampu belakang berbentuk bulat yang cukup ikonik.

Bukan itu sahaja, GT-R NISMO Speed Champions ini juga didatangkan dengan sebuah patung pemandu yang boleh diletakkan di dalam kokpit serta pelekat livery perlumbaan NISMO.

“Nissan GT-R dan jenama LEGO kedua-duanya terkenal dan diminati oleh peminat dari semua peringkat umur di seluruh dunia, dan kami berbesar hati menjadi pengeluar kereta Jepun pertama yang bekerjasama dengan Kumpulan LEGO,” kata Timbalan Presiden Eksekutif Nissan, Asako Hoshino.

“Dengan kerjasama ini, semua orang boleh menjadi ‘takumi’ – pembina Nissan GT-R yang khas. Dan, tahun ini merupakan ulang tahun GT-R yang ke-50, jadi ini merupakan satu cara untuk meraikan GT-R dengan peminat Nissan dan Lego di seluruh dunia,” tambah beliau.

Set GT-R NISMO Speed Champions akan memasuki pasaran bermula Januari tahun hadapan, namun harganya masih belum diumumkan.

Previous post

Tayar Hankook Ventus Prime 3 K125 Kini di Malaysia

Next post

Diskaun Untuk Pembelian Awal Tiket Perodua Malaysia Masters 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *