Berita Auto

Perodua Alza Baharu Dibuka Untuk Tempahan – Harga Dari RM62k

Perodua hari ini secara rasminya membuka tempahan untuk Perodua Alza baharu. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, MPV kompak itu boleh didapati dalam tiga varian iaitu X, H dan AV.

Berdasarkan senarai harga yang sudah pun tertiris, harga jualan tentatif (OTR tidak termasuk insurans) Alza baharu bermula dari RM62,000 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,000 untuk varian AV.

Reka bentuk Alza baharu masih belum didedahkan namun bukanlah satu rahsia yang ia mirip Daihatsu Xenia yang dilancarkan di Indonesia pada tahun lalu. Selain pengenalan dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown, jarak lega tanah model itu juga telah dipertingkatkan kepada 160 mm bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Selain itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata Alza baharu mempunyai ruang yang lebih besar berbanding pendahulunya, terutama sekali di barisan ketiga. Ia juga dilengkapi dengan unit penyaman udara bahagian belakang.

Model itu mempunyai kapasiti bagasi sebanyak 137 liter atau 498 liter jika tempat duduk barisan ketiga dilipat. Untuk perbandingan, kapasiti bagasi model generasi sebelum ini adalah 83 liter.

Turut disahkan adalah enjin 1.5-liter Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi jenis D-CVT seperti yang terdapat pada Ativa. Menurut Dato’ Zainal, gabungan ini memberikan kadar kecekapan bahan api yang lebih baik iaitu 22 km seliter.

Dari segi keselamatan, ketiga-tiga varian Alza didatangkan dengan enam beg udara, serta ABS dengan EBD, Vehicle Stability Control dengan Brake Assist dan sensor parkir belakang. Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention serta fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist juga tersedia pada semua varian.

Turut disertakan secara standard adalah ciri Advanced Safety Assist (ASA) yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Sebagai varian tertinggi, AV mendapat ciri-ciri tambahan berupa monitor pandangan panoramik 360 darjah, brek parkir elektronik dengan ciri Auto Brake Hold, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Control (LKC), Blind Spot Monitor dan juga Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Previous post

Kadar Harga Pengecasan Di Fasiliti BMW i Charging Didedahkan

Next post

Pandu Uji: Peugeot 2008 1.2L PureTech Allure

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *