Berita Auto

Kami Kongsikan Spesifikasi Dan Warna Perodua Alza D27A

Seperti yang anda mungkin tahu, Perodua Alza bakal mendapat penggantinya tidak lama lagi, setelah 13 tahun ia berada di pasaran. Model yang diberi kod nama D27A itu dibangunkan berasaskan Daihatsu Xenia yang dilancarkan ke pasaran Indonesia beberapa bulan yang lalu.

Oleh itu, seperti Xenia, Alza generasi baharu yang akan datang itu juga menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Perodua Ativa dan Toyota Avanza. Menurut laporan, ia mempunyai dimensi yang lebih besar berbanding model sedia ada dengan ukuran panjang 4,935 mm, lebar 1,730 mm dan tinggi 1,700 mm.

Daihatsu-XENIA-LED-Rear-Combi-Lamp-6.2

Melihat kepada brosur yang tertiris, Alza baharu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan AV, dengan ketiga-tiganya dikuasakan oleh enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi jenis D-CVT yang dibangunkan oleh Daihatsu. Ini bermakna tiada pilihan enjin turbo untuk model itu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Dari segi kelengkapan, varian asas iaitu 1.5 X didatangkan standard dengan butang Start/Stop, lampu reflektor LED dengan Auto High Beam, upholsteri fabrik, kawalan digital pendingin hawa, Bluetooth, empat pembesar suara dan rim aloi 15 inci.

Varian 1.5 H pula mendapat tambahan lampu LED automatik dengan lampu isyarat berjujukan, lampu belokan dan Adaptive Driving Beam (ADB), cermin sisi boleh lipat secara automatik, sensor parkir depan dan kamera undur.

Sebagai varian tertinggi, 1.5 AV mendapat lebih banyak kelengkapan. Antaranya termasuklah upholsteri kulit, rim aloi 16 inci, enam pembesar suara, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, perakam video pemanduan, serta filem solar dan keselamatan.

Untuk sistem keselamatan pula, ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan Perodua Smart Drive Assist namun ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert hanya disertakan pada varian AV. Varian tertinggi itu juga mendapat enam beg udara, berbanding empat pada H dan X.

Alza juga boleh didapati dalam dua warna baharu iaitu Vintage Brown (H dan V sahaja) dan Elegant Black (semua varian). Pilihan-pilihan warna lain adalah Ivory White, Glittering Silver dan Garnet Red.

Previous post

Kenderaan Berat Dilarang Melalui Jalan Utama KL Pada Waktu Puncak

Next post

Mercedes-Benz GLC serba baharu Diperkenalkan Dengan Penggayaan Berinspirasikan C-Class

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *