Berita Auto

Pengeluaran Perodua Alza Dihentikan April Ini

MPV kompak tujuh tempat duduk buatan Perodua iaitu Alza bakal dihentikan pengeluarannya pada April tahun ini selepas lebih 12 tahun berada di pasaran.

Perkara ini disahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad dalam sidang media Perodua Outlook 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Dato’ Zainal, Perodua merancang untuk menamatkan pengeluaran Alza lebih awal pada Januari tahun ini namun tidak dapat melakukannya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir pada hujung tahun lalu.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga masih mempunyai tempahan tertunggak sebanyak kira-kira 3,200 unit untuk model itu.

Mengenai model penggantinya, Dato’ Zainal berkata Alza serba baharu akan dilancarkan pada tahun ini, namun tiada sebarang tarikh diberikan.

Maklumat mengenai model pengganti yang diberi kod nama D27A itu juga masih belum didedahkan namun besar kemungkinan ia dibangunkan berasaskan Daihatsu Xenia/Toyota Avanza yang dilancarkan di Indonesia pada hujung tahun lalu.

Model ‘kembar’ itu dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan ditawarkan dengan pilihan enjin NA 1.3 atau 1.5 liter, dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau D-CVT.

Xenia dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Advanced Safety Assist (ASA) yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre Collision System, Pedal Misoperation Control, Lane Departure Warning dan sebagainya. Sementara itu, Avanza pula mendapat Toyota Safety Sense.

Previous post

BMW 8 Series Facelifted Untuk Model Tahun 2023

Next post

Touch 'n Go Bakal Lancar Kad Versi Baharu Dengan NFC

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *