Hibrid, Elektrik, Hidrogen

TY-E 2.0 Taruhan Yamaha Dalam Kejohanan Trial Dunia 2022

Yamaha telah mengumumkan pembangunan motosikal trial elektrik TY-E 2.0, yang akan dipertandingkan dalam pusingan terpilihan Kejohanan Trial Dunia FIM 2022.

Menurut Yamaha, TY-E 2.0 mensasarkan untuk memberikan lebih keseronokan menunggang berbanding motosikal dengan enjin pembakaran dalaman. Ini akan dicapai dengan memanfaatkan ciri-ciri unik yang ada pada kenderaan elektrik seperti tork yang kuat pada julat rendah serta pecutan yang berkuasa.

Dibangunkan berasaskan model TY-E pertama yang diperkenalkan pada 2018, versi 2.0 ini menampilkan bingkai monocoque rekaan baharu dengan lamina komposit untuk keringanan dan ketegaran. Yamaha turut mengubah suai susun atur unit kuasa dan bateri bagi mendapatkan titik graviti yang lebih rendah berbanding model terdahulu.

Dari segi dimensi, motosikal ini berukuran 2,003 mm panjang, 830 mm lebar dan 1,130 mm tinggi, dan mempunyai ukuran tapak roda sepanjang 1,310 mm dan jarak lega tanah minimum 340 mm. Berat yang sebenar tidak didedahkan namun Yamaha berkata ia melebihi 70 kg.

Untuk mekanikal pula, TY-E 2.0 mendapat bateri ringan baharu dengan kapasiti 2.5 kali lebih tinggi berbanding bateri pada model lama. Prestasi unit kuasa itu juga telah dipertingkatkan dengan menggandingkan komponen mekanikal seperti klac dan flywheel dengan kawalan elektronik yang telah ditala.

TY-E 2.0 akan bersaing dalam Kejohanan Trial Dunia FIM bermula Jun tahun ini dengan Kenichi Kuroyama dari pasukan Yamaha Factory Racing Team. Pelumba dari Jepun itu sebelum ini merangkul gelaran naib johan dalam kejohanan FIM Trial E-Cup dengan menunggang TY-E.

Previous post

Menurut MAA Harga Kereta CKD Mungkin Naik 8-20% Tahun Depan

Next post

Mazda CX-3 Dinaik Taraf Dan Di Bilik Pameran Dengan Harga RM131k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *