Berita Auto

Mazda CX-60 PHEV Disahkan Mempunyai Lebih 300 hp

Pada Oktober 2021, Mazda mengumumkan bahawa ia akan memperkembangkan barisan SUV-nya dengan lima model baharu iaitu CX-50, CX-60, CX-70, CX-80 dan CX-90.

Model pertama iaitu CX-50 telah diperkenalkan sebulan selepas pengumuman itu dibuat dan kini, Mazda telah menyiarkan teaser untuk model seterusnya iaitu CX-60. Menurut syarikat itu, ia akan diperkenalkan sepenuhnya pada 8 Mac depan.

Berbeza dengan CX-50 yang tergolong dalam kumpulan Small Product dan dibangunkan khusus untuk Amerika Syarikat, CX-60 merupakan ahli kumpulan Large Product yang akan ditawarkan di Eropah, Jepun dan pasaran-pasaran lain.

Tidak banyak yang ditunjukkan oleh video teaser pendek itu, hanya sebahagian daripada bahagian depan dan sisi CX-60. Namun setidak-tidaknya ia mengesahkan gambar-gambar CX-60 yang pernah tertiris pada November lalu yang mendedahkan keseluruhan bahagian depannya.

Dari segi teknikal, sah CX-60 merupakan model PHEV pertama yang dihasilkan oleh Mazda. Ia bakal hadir dengan enjin petrol 2.5-liter empat silinder yang digandingkan dengan sebuah motor elektrik bagi menghasilkan kuasa yang dikatakan “melebihi 300 hp.”

Selain itu, ia juga dilaporkan akan ditawarkan dalam versi petrol enam silinder Skyactiv-X dan diesel Skyactiv-D dengan sistem hibrid ringkas (mild hybrid) 48V.

Dari segi saiz pula, CX-60 dikatakan lebih besar berbanding CX-5 namun ia mempunyai konfigurasi lima tempat duduk yang sama. Ia akan disertai oleh model yang lebih besar iaitu CX-80 yang menawarkan tujuh tempat duduk sama ada pada tahun ini atau tahun depan.

Previous post

60,000 EV Fisker Ocean Dijangka Dijual Setiap Tahun Di Eropah

Next post

Rolls-Royce Membentuk Semula Ornamen Spirit Of Ecstasy

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *