Bisnes

Honda Malaysia Sasar Jual 80,000 Unit Kenderaan Tahun Ini

Honda Malaysia mengumumkan hala tuju perniagaan strategik untuk tahun 2022, di mana ia mensasarkan untuk menjual sebanyak 80,000 unit kenderaan. Jumlah tersebut ditetapkan berdasarkan ramalann Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 600,000 unit.

Honda Malaysia yakin dapat mencapai sasaran ini dengan merangka strategi yang melibatkan pelancaran dua lagi model serba baharu serta pengukuhan rangkaian perkhidmatan selepas jualan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata pihaknya memulakan 2022 dengan momentum daripada pelancaran Honda City Hatchback serba baharu pada Disember 2021.

“Permulaan yang cemerlang ini diteruskan dengan pelancaran Honda Civic serba baharu pada bulan lalu. Kami menetapkan tanda aras dalam segmen C dengan menawarkan VTEC Turbo dan Honda SENSING sebagai ciri standard untuk semua varian”, tambah beliau.

Honda Malaysia turut merancang untuk memperluaskan lagi barisan model RS e:HEV untuk model-model akan datang. Menurut syarikat itu, teknologi e:HEV yang diperkenalkan menerusi City dan City Hatchback telah menarik minat orang ramai, manakala pakej unik e:HEV dan RS turut mendapat maklum balas positif.

Honda City Hatchback V

Bagi terus menawarkan nilai baharu kepada pelanggan serta meningkatkan penanda aras dalam segmen kereta, Honda Malaysia akan memperkenalkan teknologi canggih generasi baharu seperti VTEC Turbo, Honda SENSING dan Honda CONNECT dalam barisan model akan datang.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga buat pertama kalinya akan menceburi perniagaan kereta terpakai untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, Honda Malaysia menegaskan bahawa memperkukuhkan perkhidmatan selepas jualannya kekal sebagai fokus utamanya untuk 2022. Ia akan menawarkan lebih keselesaan dan kepuasan kepada pelanggan dengan memperkembangkan perkhidmatan bergerak.

Pelanggan boleh membuat janji temu di hujung jari mereka dengan menggunakan aplikasi HondaTouch dan pasukan bergerak Honda Malaysia akan tiba ke lokasi pilihan pelanggan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan.

Previous post

Maserati Grecale Untuk Pelancaran Perdana Dunia Pada 22 Mac

Next post

Model Mercedes-Benz C-Class 2022 Akan Tiba Minggu Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *