Motosikal / Lain Lain Roda

Suzuki Burgman 400 Dilancarkan Di Malaysia – RM45,999

Suzuki Malaysia terus memperkembangkan portfolio produk mereka selepas membuat kemunculan semula di pasaran Malaysia pada Ogos lalu. Kali ini, syarikat itu melancarkan model skuter maxi iaitu Burgman 400 yang telah dikemas kini dengan rekaan lebih segar, selain menerima piawaian emisi Euro 5.

Dari segi penampilan, rekaan badan yang ramping membuat Burgman 400 mudah untuk dikendalikan di kawasan-kawasan bandar dan di laluan trafik yang sibuk. Ia didatangkan standard dengan lampu LED depan dan belakang, lampu posisi LED terintegrasi, serta rekaan pelana bertingkat yang sesuai untuk tunggangan berdua.

Burgman 400 dikuasakan oleh enjin 400 cc, sejukan cecair, empat lejang silinder tunggal DOHC yang dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api dan kawalan pendikit yang dipertingkatkan. Bukan itu sahaja, komponen-komponen enjin seperti kepala silinder, omboh, penyuntik dan kebuk pembakaran turut disemak semula.

Ini ditambah lagi dengan teknologi Suzuki Dual Spark baharu yang membawakan dua unit palam pencucuh bagi meningkatkan tahap kecekapan pembakaran, mengurangkan penggunaan bahan api dan mencapai output kuasa yang lebih stabil.

Suzuki Burgman 400

Hasilnya, enjin ini mampu menjana 29.2 PS dan 35.2 Nm dengan bacaan penggunaan bahan api purata 4.0 liter untuk setiap 100 km. Ia dipadankan dengan transmisi jenis CVT.

Untuk sistem suspensi pula, Burgman 400 didatangkan dengan fork teleskopik 41 mm pada bahagian depan dan penyerap hentak tunggal ‘link-type’ dengan larasan spring tujuh peringkat pada bahagian belakang. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 15 inci.

Suzuki Burgman 400

Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar berukuran 260 mm di depan dan cakera tunggal 210 mm di belakang, serta sistem ABS yang kini menggunakan unit kawalan baharu yang mengurangkan berat sebanyak 36 g berbanding unit terdahulu.

Menurut Suzuki, pelana bertingkat itu menggunakan kusyen dengan ketebalan 78.5 mm untuk menawarkan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng. Bukan itu sahaja, ‘backrest’ tempat duduk penunggang juga boleh dilaraskan ke hadapan sehingga 30 mm untuk sokongan tambahan.

Suzuki Burgman 400

Biarpun mempunyai rekaan yang langsing, Burgman 400 masih mampu menyediakan ruang kargo sebesar 42 liter yang boleh memuatkan dua buah topi keledar atau barangan keperluan tunggangan. Terdapat juga dua ruang storan hadapan masing-masing bersaiz 2.8 liter dan 3.5 liter, di mana salah satu daripadanya menempatkan outlet kuasa DC 12V untuk pengecasan peranti pintar.

Boleh didapati dalam warna Metallic Mat Sword Silver, Burgman 400 dijual pada harga RM45,999 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran). Ia didatangkan dengan jaminan kilang standard selama dua tahun/20,000 km.

Previous post

Kenapa Semua Kenderaan Mazda Di Malaysia Menggunakan Activ-e Film Oleh ICE-μ

Next post

Ford Equator Sport Merupakan Crossover Khusus Untuk Belia Hanya Untuk China

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *