Motosikal / Lain Lain Roda

BMW R 18 Bagger, R 18 Transcontinental Tiba Di Malaysia

BMW Motorrad Malaysia hari ini meluaskan lagi portfolionya menerusi dua model yang dibangunkan untuk perjalanan jarak jauh iaitu BMW R 18 Bagger dan R 18 Transcontinental. Kedua-duanya didatangkan dalam versi First Edition yang eksklusif.

Seperti motosikal-motosikal cruiser terdahulu yang dirumus untuk menjelajah, penampilan R 18 Bagger dan R 18 Transcontinental mencakupi elemen-elemen bergaya seperti bingkai gulung berkembar, aci universal dengan saduran nikel berglos, perumah klasik bagi kotak gear gandar belakang serta pelitup tangki bahan api yang boleh dikunci.

Pakej First Edition membawakan kelengkapan tambahan bergred tinggi yang meliputi pelbagai komponen krom, kemasan permukaan yang istimewa, sulaman berkualiti tinggi dan inskripsi “First Edition” pada kedua-dua bekas muatannya.

R 18 Bagger

Selain itu, R 18 Bagger dilengkapi dengan roda berkontras dalam warna hitam, manakala R 18 Transcontinental didatangkan dengan roda berkontras dalam warna kelabu perak, di samping angkup brek bersadur krom di hadapan. Ia dipadankan dengan jalur putih berkembar pada tangki bahan api, fairing serta bekas muatan.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua model didatangkan dengan Headlight Pro iaitu lampu utama LED dengan fungsi pencahayaan waktu siang dan lampu membelok adaptif. Turut disertakan adalah indikator membelok LED dengan ciri kefungsian yang terintegrasi di belakang berserta lampu belakang dengan ciri yang sama diintegrasi pada bekas muatan.

R 18 Bagger dan R 18 Transcontinental kedua-duanya dikuasakan oleh enjin “Big Boxer” 1,802 cc yang menghasilkan kuasa berjumlah 91 hp pada paras 4,750 rpm dan tork puncak sebanyak 158 Nm pada paras 3,000 rpm. Terdapat tiga mod tunggangan yang disediakan iaitu Rain, Roll dan Rock, semuanya boleh diakses menerusi paparan berwarna TFT 10.25 inci.

R 18 Transcontinental

Antara ciri elektronik yang disediakan termasuklah:

  • Kawalan Luncur Aktif (ACC)
  • Kawalan Stabiliti Automatik (ASC)
  • Kawalan Tork Seretan Enjin (MSR)
  • Bantuan Mengundur
  • Kawalan Permulaan Curam
  • BMW Motorrad Full Integral ABS

Selain paparan TFT tersebut, R 18 Bagger turut didatangkan dengan sistem bunyi Marshall Gold Series Stage 1 yang membawakan empat pembesar suara dan seunit penggalak 180 watt. R18 Transcontinental pula mendapat sistem Stage 2 yang merangkumi enam pembesar suara dan seunit penggalak.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, berserta waranti dan program bantuan tepi jalan tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) bermula dari RM186,500 untuk R 18 Bagger dan RM198,500 untuk R 18 Transcontinental.

Previous post

Bugatti Chiron Pur Sport Grand Prix Kereta Pertama Dari Program Sur Mesure

Next post

Segalanya Mungkin Dengan Trak Pikap Isuzu D-Max X-Terrain

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *