Uncategorized

Pemandu Trak Tunda Enggan Tunda Motosikal Kerana Tidak Ada Cukai Jalan

Penunggang Motosikal Tidak Puas Hati Motonya Tidak Mahu Ditunda Walaupun Ada Perlindungan Insuran

Sebuah video tular di aplikasi WhatsApp yang menggambarkan seorang penunggang motosikal BMW R1200RT dan seorang pemandu trak tunda Allianz Road Ranger bertekak kerana pemandu trak tunda tersebut enggang menunda motosikal yang rosak itu.

En Tajul Arrifin Pemilik Motosikal

Kami sempat menemu bual dengan pemilik moto tersebut, En Tajul Arrifin, 56, di Shah Alam dan ini adalah keterangan beliau dan rakan mereka En. Razul Nizam, 42, yang bersama membantu.

Alasan yang diberi pemandu trak tunda tersebut ialah kerana motosikal itu tidak mempunyai cukai jalan yang sah walaupun berkali diberitahu bahawa motosikal tersebut mempunyai perlindungan insuran yang sah.

BMW R1200RT

Kementerian Pengangkutan telah melanjutkan tempoh untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu yang tamat tempoh sah, hingga 31 Disember depan.

Namun bagi melindungi pemandu dan pengguna jalan raya yang lain, pemilik cukai jalan tamat tempoh sah masih perlu memastikan kenderaan berkenaan dilindungi insurans yang sah.

Tuan Syed Nazaruddin Penunggang Motosikal

Penunggang motosikal tersebut, Tuan Syed Nazaruddin, 46, mengalami kerosakkan motonya pada hari Khamis 30 September 2021 lebih kurang jam 8:00 malam di Lebuhraya Kesas arah Subang Jaya. En. Nazaruddin kemudian menalipon rakannya En Razul Nizam, untuk meminta bantuan. Setibanya En Razul di tempat kejadian bersama-sama dengan pemilik sebenar moto tersebut, En Tajul Arrifin, mereka cuba menghidupkan moto tersebut tetapi tidak berjaya.

Setelah sah yang moto tersebut tidak boleh dihidupkan, mereka memutuskan untuk meminta bantuan perkhidmatan Bike Warrior yang di sediakan oleh syarikat insuran yang mereka gunakan iaitu Allianz Malaysia.

Setiba trak tunda tersebut pemandunya terus meminta supaya moto itu dihidupkan dan bertanya sama ada moto tersebut mempunyai cukai jalan yang sah.

Ketika inilah pemilik moto, En. Tajul Arrifin, mula merakam video peristiwa itu.

Pemandu trak tunda tersebut berkeras bahawa moto yang tidak ada cukai jalan tidak boleh di tunda dan segala SOP tunda-menunda harus diterangkan kepada pemegang polisi oleh syarikat insuran dan buka dia. Kerja dia adalah hanya untuk menunda.

En. Razul Nizam Rakan Sejawat

En. Razul Nizam terus menalipon Allianz Malaysia dan isu itu terus diselasaikan tanpa masalah. Allianz Malaysia terus menghubungi syarikat tunda tersebut dan syarikat tunda terus berhubung dengan pemandunya dan mengarahkan dia menunda motosikal tersebut.

En Tajul Arrifin turut menyuarakan kekesalannya kerana pemandu trak itu tidak membenarkan penunggang motosikal untuk tumpang naik bersama lori tunda atas alasan SOP Covid-19. Apa yang sedih ialah pemandu itu tidak memberi apa-apa nasihat atau bantuan kepada penunggang motosikal untuk pulang atau ke tempat motosikal ditunda.

Akhirnya, motosikal di tunda dan penunggang, En Syed Nazaruddin, pulang dengan rakannya.

Pesanan En Tajul Arrifin kepada semua pengguna agar jangan cepat mengalah dan menerima apa saja yang berlaku tetapi kena bertanya dan ketahui hak sebenar anda. Jika rasa tidak puas hati dan atau rasa ada yang tak kena, hubungi hotline syarikat insuran anda atau syarikat yang berkenaan dan minta penerangan. En Tajul turut mengingatkan Allianz Malaysia agar memantau mereka yang berkhidmat atas nama mereka agar mematuhi segala syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kami menghubungi Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dan ini kenyataan mereka:

Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad memandang serius perkara ini dan kami amat kesal dengan kesukaran yang ditanggung oleh pelanggan kami, En Tajjul Ariffin bin Mustafa. Kami sedang menjalankan siasatan penuh mengenai kes ini dan akan memastikan bahawa langkah-langkah pemulihan yang sewajarnya akan diambil untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang semula di masa hadapan. Tujuan utama Allianz Road Rangers adalah untuk menangani semua masalah pelanggan dan dalam hal ini, motosikal pelanggan sewajarnya ditarik segera tanpa sebarang soal selidik mengenai cukai jalan untuk motosikal tersebut.

Ya. Jangan senang diperdaya dan jangan cepat mengalah. Pastikan anda tidak dipermainkan. Hubungi hotline syarikat yang berkenaan jika ada rasa ada yang tak kena.

Previous post

Volvo C40 Recharge Semua Elektrik Kini Dalam Produksi Di Belgium

Next post

Maserati Mexico Meraikan Ulang Tahun ke-55 Minggu Ini

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *