Berita Auto

Toyota Land Cruiser GR Sport Mendarat Di Jepun

Toyota Land Cruiser siri 300 secara rasminya telah dilancarkan di Jepun, hampir dua bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global. Di pasaran negara asalnya itu, SUV berasaskan platform TNGA-F itu ditawarkan dengan pilihan enjin V6 twin-turbo dalam versi petrol dan diesel. Terdapat tujuh varian kesemuanya, lima untuk versi petrol dan dua untuk diesel.

Daripada gambar-gambar rasmi yang disiarkan oleh Toyota pada Jun lalu, kami tahu raja off-road tersebut buat pertama kalinya akan mendapat varian GR Sport. Kini, Toyota telah mendedahkan maklumat lanjut mengenai varian tersebut yang dibangunkan berdasarkan maklum balas daripada pemandu-pemandu Rali Dakar.

Toyota Land Cruiser GR Sport

Boleh didapati dalam versi petrol dan diesel, Land Cruiser GR Sport bukanlah varian yang diberikan kit badan semata-mata kerana ia juga mendapat beberapa penambahbaikan mekanikal bagi menjadikannya sebuah SUV yang mampu menangani permukaan muka bumi yang mencabar.

Pertama sekali, ia didatangkan dengan Electronic-Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS) yang berfungsi untuk mengawal setiap penstabil hadapan dan belakang secara automatik, bergantung kepada kondisi jalan dan juga keadaan setiap tayar.

Di samping E-KDSS, Land Cruiser GR Sport turut dilengkapi dengan ‘differential’ elektronik pada gandar hadapan dan belakang, yang mana menurut Toyota, mampu meningkatkan prestasi SUV itu dalam pelbagai situasi off-road. Varian-varian lain mempunyai Torsen LSD.

Walaupun dengan casis yang dinaik taraf, kuasa yang dihasilkan kekal pada 415 PS dan 650 bagi enjin petrol 3.5-liter dan 309 PS dan 700 Nm bagi enjin diesel 3.3-liter. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan Direct Shift baharu Toyota yang menawarkan nisbah yang lebih luas untuk kecekapan bahan api yang lebih baik pada kelajuan tinggi. Pecutan dan prestasi off-road juga dipertingkatkan, menurut syarikat itu.

Sudah tentu, bahagian luaran dan dalaman Land Cruiser GR Sport turut mendapat sentuhan GR bagi membezakan ia dengan varian-varian Land Cruiser yang lain. Seperti yang anda boleh lihat, ia mempunyai rekaan gril dan bampar yang lebih sporty dan rim aloi 18 inci. Selain rim, warna hitam juga digunakan untuk menghiasi kemasan dapra, cermin sisi, pemegang hitam dan tulisan ‘Land Cruiser’ di belakang.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit hitam dan merah yang eksklusif untuk varian GR Sport, panel karbon dan juga logo-logo GR pada stereng, perehat kepala dan skrin. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan upholsteri berwarna hitam sahaja.

Sebagai varian tertinggi, Land Cruiser GR Sport didatangkan dengan semua kelengkapan yang ada. Ini termasuklah skrin sentuh berukuran 12.3 inci, ciri pemanas dan penyejuk tempat duduk, sensor cap jari pada butang penghidup enjin, serta sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense. Sistem pra-perlanggaran telah dinaik taraf untuk mengesan kenderaan yang datang dari arah hadapan di persimpangan dan pejalan kaki yang sedang melintas. Fungsi bantuan stereng kecemasan juga telah ditambah pada sistem tersebut.

Land Cruiser GR Sport versi petrol dijual pada harga 7,700,000 yen (RM297,120) manakala versi diesel pula berharga 8,000,000 yen (RM308,700). Untuk varian-varian lain pula, harga bermula dari 5,100,000 (RM196,790) untuk varian GX petrol hinggalah 7,600,000 (RM293,260) untuk ZX diesel.

Previous post

Pemilik Citroën Di Malaysia Kini Diservis Oleh BAASB

Next post

2022 Lexus UX Lebih Berwarna Di Pasaran AS

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *