Berita Auto

Volkswagen Arteon R-Line Facelift Dilancarkan Di Malaysia

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan model utamanya, Arteon R-Line 4MOTION baharu secara dalam talian. Ia merupakan versi facelift kepada model asal yang dilancarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu dan seperti sebelum ini, ia ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

Dari segi reka bentuk, Arteon R-Line hadir dengan kit R-Line yang merangkumi bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, spoiler pada bahagian but serta rim Montevideo berukuran 19 inci. Ia juga dilengkapi dengan sistem lampu utama LED sepenuhnya dengan ciri Dynamic Cornering Lights, manakala di belakang pula terdapat lampu LED 3D dengan lampu isyarat membelok secara berturutan.

Di dalam, pemandu akan menemui tempat duduk ErgoComfort yang dibalut kulit Nappa Carbon, lengkap dengan logo R serta ciri pelarasan 14 hala dan fungsi urutan pada tempat duduk pemandu. Turut disertakan adalah stereng ‘flat bottom’ baharu dengan panel sentuhan haptik, dan pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.

Sistem infohibur terdiri daripada skrin sentuh Discover Pro berukuran 9.2 inci dengan kawalan suara dan gestur, serta sokongan App-Connect dengan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar. Terletak di belakang stereng adalah Digital Cockpit 11.7 inci yang memberikan akses kepada maklumat pemanduan menerusi enam pilihan skrin dan lebih 30 gabungan.

Sebagai model flagship, Arteon R-Line didatangkan dengan sistem bunyi premium Harman Kardon bersama 12 unit pembesar suara. Ia menawarkan kualliti akustik terbaik dalam empat mod – Pure, Chill Out, Live dan Energy. Sistem pendingin hawa ‘Climatronic’ tiga zon yang boleh dikawal menerusi panel sentuh turut tersedia.

Di belakang, terdapat ruang but berkapasiti 563 liter yang boleh diakses ciri Easy Open and Easy Close. Ia membolehkan but dibuka tanpa sentuhan tangan dan but ditutup lebih perlahan, sesuai untuk pemandu mengeluarkan barangan menggunakan kedua-dua belah tangan.

Enjin TSI 2.0-liter empat silinder kini menawarkan kuasa yang lebih tinggi iaitu 280 PS dari 5,100 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm dari 1,700 hingga 5,600 rpm. Dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan pacuan semua roda 4MOTION, Arteon R-Line boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat. Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.4 l/100 km.

Volkswagen Arteon R-Line

Ciri keselamatan yang terdapat pada model ini tidak kurang hebatnya, dengan Lane Assist, Side Assist, Driver Alert System, Rear Cross Traffic Alert, 360° Area View, Post Collision Braking System, dan Intelligent Crash Response System (ICRS). Terdapat juga Electronic Different Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah ‘understeer’.

Arteon R-Line boleh didapati dala tiga pilihan warna metalik iaitu kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna mutiara; hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White). Ia ditawarkan pada harga bermula RM247,670.97 selepas pengecualian cukai jualan, termasuk penyelanggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Previous post

Kereta Konsep Pininfarina Teorema Ditunjukkan

Next post

Pelancaran Porsche GT1 Boleh Menjadi Realiti Ogos Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *