Berita Auto

Bagaimana Proton Dan Geely Mendapat Manfaat Daripada Perkongsian Strategik Mereka

Sedar tak sedar, sudah empat tahun berlalu sejak perjanjian kerjasama strategik antara Geely dan Proton ditandatangani. Walaupun diselebungi ketidakpastian dan pelbagai persepsi negatif mengenai status Proton sebagai jenama kereta nasional, pakatan tersebut setakat ini dilihat mendatangkan manfaat kepada kedua-dua syarikat.

Ia bukanlah satu rahsia yang Proton berada di ambang kejatuhan ketika konglomerat besar dari China itu bersetuju untuk mengambil alih 49.9 peratus sahamnya. Model pertama yang dilahirkan di bawah kerjasama ini adalah X70, yang mana walaupun mempunyai banyak kekurangan, berjaya menaikkan semula nama Proton. Kemudian, X50 pula tiba untuk terus menarik minat ramai rakyat Malaysia dengan reka bentuknya yang menarik serta kelengkapannya yang canggih.

Sementara itu, dari sudut pengeluaran pula, kilang Proton di Tanjung Malim telah dinaik taraf secara besar-besaran dengan pelaburan bernilai $300 juta (RM1.2 bilion) bagi menjadikannya sebuah hab canggih yang mampu memasang model-model Geely yang terkini. Bukan itu sahaja, sebuah fasiliti penghentakan (stamping) baharu bernilai $50 juta (RM200 juta) juga akan dibuka menjelang suku ketiga tahun hadapan.

Di samping membantu barisan pengeluaran sedia ada di Tanjung Malim, fasiliti baharu itu juga membuka peluang kepada lebih banyak syarikat pembekal alat ganti tempatan. Ini bukan sahaja membolehkan syarikat-syarikat tersebut mengembangkan keupayaan dan penawaran mereka sekali gus mengembangkan ekosistem automotif rantau ini secara amnya.

Jadi apakah manfaat yang dinikmati oleh Geely dalam kerjasama ini? Berasal dari negara di mana stereng diletakkan di sebelah kiri kenderaan, kerjasama dengan Proton memberikan Geely akses kepada pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan yang terdiri daripada 75 buah negara termasuk Proton dan Brunei.

Bukan itu sahaja, perjanjian ini juga membolehkan Geely memegang majoriti sahama Lotus. Seperti yang anda sedia maklum, pengeluar kereta sport dari Hethel, England itu kini dilihat semakin berkembang di bawah pemilikan baharu. Buktinya, mereka bakal melancarkan hypercar elektrik pertama iaitu Evija dan juga sebuah model baharu yang dikenali sebagai Emira.

Bagi Proton pula, selain daripada kedatangan model-model terbaharu daripada Geely, tidak dipastikan apakah yang menanti syarikat itu pada masa hadapan. Namun, melihat kepada situasi positif di Volvo dan Lotus, kami menaruh harapan yang tinggi.

Previous post

Stesen Pengecas Pantas Awam Siemens SICHARGE D Kini Di Asia Pasifik

Next post

Porsche 911 GT3 Kini Boleh Dipesan Dengan Pakej Touring

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *