Pandu Uji

Pandu Uji: Proton X50 1.5TGDi Flagship

Rasanya sudah banyak yang diperkatakan mengenai Proton X50 sejak ura-ura mengenai kehadirannya timbul pada awal tahun lalu sehinggalah ia dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2020.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-32

Penulis sendiri pun sudah pernah memandu uji crossover ini di Litar Antarabangsa Sepang beberapa minggu sebelum ia memasuki pasaran. Bagaimanapun, sesi pandu uji pada hari tersebut boleh dikatakan agak singkat dan aktiviti yang disediakan pula terhad kepada prestasi pecutan dan pengendalian di atas permukaan tarmac yang rata.

Pendek kata, ia tidak melambangkan keadaan dan situasi sebenar yang dialami oleh pemilik X50 yang sudah tentu rata-ratanya hanya memandu di jalan raya awam, sama ada di dalam atau luar bandar. Bagaimanapun, baru-baru ini penulis berpeluang mendapatkan sebuah unit pandu uji X50 Flagship dari pihak Proton untuk dibawa pulang selama tiga hari.

72 jam bukanlah satu tempoh yang panjang namun bagi penulis ia sudah cukup untuk meneroka ciri-ciri yang dimiliki oleh model ini, terutamanya dari segi teknologi, kemudahan dan praktikaliti, yang mana bagi penulis amat penting memandangkan ia sebuah crossover gaya hidup yang disasarkan kepada golongan muda sama ada bujang atau pun sudah berkeluarga.

Dengan kuasa berjumlah 177 PS dan 255 Nm yang dibekalkan oleh enjin 1.5-liter tiga silinder TGDi, X50 tidak mempunyai sebarang masalah dari segi prestasi. Gandingan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang menggerakkan roda hadapan memberikan kuasa pecutan yang amat memuaskan, tidak kira sama ada anda baru hendak mula bergerak dari lampu isyarat atau memotong kenderaan lain di lebuh raya.

Stereng kuasa elektriknya terasa sedikit ringan namun ia setidak-tidaknya memberikan tindak balas yang pantas terhadap input yang diberikan. Oleh kerana ia ringan, penulis merasakan amat mudah untuk mengemudi X50 di kawasan bandar, terutamanya di ruang parkir yang sempit dan lorong-lorong kecil.

Sistem suspensi topang MacPherson dan torsion beam yang digunakan ternyata berkesan dalam memberikan keseimbangan antara kelincahan dan keselesaan. Secara umumnya, X50 mempunyai ‘ride’ yang cukup selesa dan tidak terlalu keras seperti sesetengah model berjenama Eropah namun kesan penggunaan rim berukuran 18 inci dan tayar bersaiz 215/55 mula terasa apabila penulis melalui jalan yang berlubang-lubang.

Di dalam, tempat duduk yang diberi balutan kulit (bukan kulit asli) memang selesa, dengan kusyen yang tebal dan sokongan yang cukup. Berdasarkan respon yang diberikan oleh penumpang, keselesaan tempat duduk belakang juga tidak mengecewakan. Ini kerana penumpang belakang dapat menikmati ruang lega kaki yang cukup luas dan penyandar yang tidak terlalu tegak. Ini ditambah lagi dengan kehadiran corong pendingin hawa pada bahagian belakang perehat tangan yang memastik mereka sentiasa nyaman.

Seperti yang kita sedia maklum, orang Malaysia memang gemar makan dan minum di dalam kereta. Bagi tujuan ini, Proton menyediakan pemegang cawan pada konsol tengah, poket pintu dan perehat tangan belakang. Perehat tangan hadapan turut mempunyai ruang storannya yang tersendiri, namun tidaklah sebesar seperti yang terdapat pada Honda CR-V.

Bagi mereka yang berkeluarga, X50 dilihat cukup besar untuk menampung lima orang penumpang dengan selesa. Namun, ruang but berkapasiti 330 liter mungkin cukup-cukup sahaja untuk memuatkan bagasi untuk lima individu. Di sini, X50 kalah kepada dua pesaing terdekatnya iaitu Mazda CX-3 dan Honda HR-V, masing-masing mempunyai but berkapasiti 350 liter dan 437 liter.

Bagi mereka yang bujang pula, penulis tidak merasakan ini akan menjadi satu isu. Jika ruang yang ada itu tidak cukup luas, kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya untuk memuatkan objek-objek yang tinggi atau panjang. Sangat berguna untuk sesi membeli-belah di Ikea atau melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal.

Untuk teknologi pula, pemandu mendapat kluster instrumen digital LCD warna yang bertindak memaparkan pelbagai maklumat penting berkaitan kenderaan seperti sistem navigasi, multimedia, ciri bantuan pemandu dan sebagainya. Secara peribadinya, penulis merasakan susun atur infonya agak menyerabutkan pandangan mata.

Tersergam di atas papan pemuka adalah skrin sentuh berukuran 10.25 inci dengan paparan berdefinisi tinggi yang dikuasakan oleh sistem GKUI 19. Salah satu kelebihan sistem ini adalah pemandu boleh menggunakan arahan suaran untuk mengawal ciri-ciri seperti tingkap, bumbung suria, audio dan pelbagai lagi. Penulis tidak begitu gemar menggunakannya namun pujian harus diberikan kepada Proton kerana memastikan produknya mempunyai ciri yang canggih seperti ini.

Flagship merupakan satu-satunya varian X50 yang didatangkan dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS). Dengan adanya ciri-ciri seperti Intelligent Cruise Control yang terdiri daripada Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go dan Lane Keeping Assist, model ini secara tidak langsung mempunyai sistem pemanduan autonomi tahap dua yang memudahkan pemanduan serta mengurangkan rasa penat dalam perjalanan jarak jauh.

Selain itu, X50 Flagship juga dilengkapi dengan Auto Park Assist yang membolehkan ia masuk ke ruang parkir menegak atau masuk dan keluar dari ruang parkir sisi secara automatik. Sistem ini boleh diaktikfkan dengan menekan satu butang sahaja, dan kawalan brek, pendikit dan stereng semuanya akan dilakukan oleh komputer.

Proton X50 Pandu Uji

Turut disertakan adalah enam beg udara, sensor parkir, sistem pemantauan tekanan tayar dan kamera 360 darjah. Ciri yang terakhir itu menjadikan pemanduan lebih mudah dan kualiti kameranya pada waktu siang boleh dikatakan amat memuaskan. Cuma pada waktu malam gambar akan kelihatan agak kabur.

Konklusinya, X50 mempunyai banyak kelebihan namun ia bukanlah sebuah produk yang sempurna. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, penulis yakin yang ia dapat memacu jualan Proton di dalam segmen crossover kompak, seterusnya mengambil alih tempat HR-V sebagai ‘raja’ segmen berkenaan. Cuma, ia bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan jenama Honda masih lagi dianggap berstatus lebih tinggi di kalangan pembeli di negara ini.

Spesifikasi Proton X50 Flagship
Enjin: TGDi tiga silinder
Kapasiti: 1,477 cc
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 255 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: Automatik klac berkembar 7 kelajuan
0-100 km/j: 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 195 km/j
Harga: RM103,300 sebelum pengecualian SST

Previous post

Volkswagen Multivan T7 Tampil Sebagai Penggantian Transporter

Next post

Toyota Gazoo Racing Team Thailand Muncul Juara Di Nurburgring 24 Jam

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *