Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Stesen Pengecas Pantas Awam Siemens SICHARGE D Kini Di Asia Pasifik

Dengan penerimaan pengguna terhadap kenderaan elektrik semakin baik di rantau Asia Pasifik, permintaan terhadap stesen pengecas awam turut menyaksikan peningkatan. Melihat peluang yang terhidang ini, Siemens baru-baru ini melancarkan kemudahan pengecas pantas awamnya yang tersendiri iaitu SICHARGE D.

Menurut syarikat itu, SICHARGE D adalah antara pengecas paling efisien di pasaran, dengan tahap kecekapan berterusan melebihi 95.5 peratus dan kecekapan puncak 96 peratus. Hasilnya, kos operasi dapat dikurangkan sekaligus memberi manfaat dari segi kewangan kepada pembekal perkhidmatan dan pemilik EV.

Selain itu, ia juga menawarkan kuasa pengecasan secara berperingkat iaitu dari 160 kW hingga 300 kW, sama ada dari mula atau menerusi naik taraf ‘plug and play’. Pengecas ini juga mampu menampung voltan sehingga 1,000 volt dan arus sehingga 1,000 ampere menerusi outlet pengecas DC.

Sifat modularnya bermakna SICHARGE D mampu mengecas model EV masa hadapan yang mungkin mempunyai kapasiti muatan yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, pembekal perkhidmatan juga boleh meletakkan pengecas versi berkuasa tinggi dan versi berkuasa rendah secara strategik mengikut keperluan setempat. Sebagai contoh, pengecas versi berkuasa tinggi diletakkan di sepanjang lebuh raya, manakala versi berkuasa rendah pula di kawasan-kawasan bandar.

Dari segi reka bentuk, pengecas SICHARGE D yang pernah memenangi anugerah iF Design Award 2021 didatangkan dengan paparan berukuran 24 inci yang memberikan akses kepada menu digital, kiosk maklumat serta iklan. Ia didatangkan standard dengan dua port DC dan satu outlet AC, namun pelanggan boleh menambah dua lagi port DC jika perlu.

“Rangkaian pengecasan pantas awam adalah faktor penting dalam memacu masa depan yang mampan dalam eMobility di Asia Pasifik. Dengan memastikan pengecasan dapat dilakukan dengan mudah dan pantas, kami menjadikan kenderaan elektrik sebagai pilihan yang sesuai untuk lebih ramai orang,” kata Siddhant Gupta, Ketua Grid Masa Depan untuk Siemens di Asia Pasifik.

Previous post

Subaru Forester Facelift Diperkenalkan Di Jepun

Next post

Bagaimana Proton Dan Geely Mendapat Manfaat Daripada Perkongsian Strategik Mereka

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *