Cerita Auto

BMW 330Li M Sport Tiba Di Malaysia – RM300,800

BMW Malaysia baru-baru ini mempertontonkan varian terbaharu dalam barisan model BMW 3 Series iaitu 330Li M Sport. Perbezaan utama antara model ini dan 330i adalah ia mempunyai tapak roda yang lebih panjang (+110 mm) dan lebih tinggi (+6 mm).

Selain itu, reka bentuk 330Li sama sahaja seperti model 3 Series yang lain. Ia hadir dengan gril ‘kidney’ dengan jeriji hitam dan bingkai krom, yang diapit oleh sepasang lampu LED Adaptif, paip ekzos berkembar berbentuk trapezium serta bumbung kaca panorama. Turut disertakan adalah pakej kit badan M Aerodynamics dan M Sport, serta rim aloi 18 inci dalam rekaan Double-Spoke 848 M dwiwarna.

Ruang dalaman pula menampilkan trim Aluminium Tetragon dan kemasan Pearl Chrome, stereng kulit M dengan paddle shifter, dan upholsteri kulit Vernasca. Dimensi yang baharu menyaksikan ruang kepala menjadi 4 mm lebih tinggi berbanding330i M Sport, serta penambahan sebanyak 42 mm bagi ruang kaki penumpang belakang.

Ciri-ciri lain yang turut boleh didapati adalah hamparan lantai velor, lampu ambien dengan 11 gubahan pencahayaan, penyaman udara automatik tiga zon, sistem audio HiFi dan sistem Comfort Access. Sistem infohibur hadir dalam bentuk BMW Live Cockpit Professional dengan paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci, berserta BMW Navigation System Professional dengan paparan sentuh 10.25 inci.

Di bawah hud, terdapat enjin TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa maksimum berjumlah 258 hp pada dari 5,000 – 6,500 rpm, serta 400 Nm dari 1,550 – 4,400 rpm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 6.2 saat dan kelajuan maksimumnya mencecah 250 km/j. Ia merekodkan penggunaan bahan api sebanyak 6.4 liter bagi setiap 100 km.

Sistem bantuan pemandu terdiri daripada Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan, Bantuan Parkir dengan cermin pandang belakang, sistem Keselamatan Pejalan Kaki Aktif BMW (BMW Active Pedestrian Safety), amaran pengeluaran laluan, amaran penukaran laluan, amaran perlanggaran hadapan, amaran rentas trafik serta pencegahan perlanggaran belakang. Model ini juga didatangkan standard dengan Fungsi Panggilan Kecemasan Pintar.

330Li M Sport ditawarkan dalam warna Mineral White dan Carbon Black, dengan ruang dalaman Mocha untuk kedua-dua warna tersebut. Anggaran harga jualannya adalah RM300,800 (harga atas jalan tanpa insurans) termasuk cukai jualan dan perkhidmatan.

Pelanggan yang berminat boleh membuat pendaftaran di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/.

Previous post

Kereta Caterham Dijual Oleh Tony Fernandes Kepada Penjual Jepunnya

Next post

BMW X3 sDrive20i Masuk Pasaran Malaysia - RM287k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *