Pandu Uji

Pandu Uji – BMW 330i M Sport (G20)

Jika bercakap tentang sedan sport, model pertama yang pasti akan muncul di fikiran penulis adalah BMW 3 Series.

Diperkenalkan sejak 1975, ia diminati ramai kerana ia dikatakan mampu memberikan pengalaman pemanduan yang mengujakan yang tidak ada pada sedan lain dalam segmennya. Reka bentuknya yang sporty boleh dikira sebagai satu bonus.

Setelah 45 tahun berada di pasaran, 3 Series kini memasuki generasi yang ketujuh yang lebih dikenali sebagai G20. Jika dibandingkan dengan generasi-generasi terdahulu, ia mempunyai ukuran yang lebih besar manakala bahasa reka bentuknya juga boleh dikatakan paling agresif setakat ini. Namun pembaharuannya tidak terhad kepada aspek rekaan sahaja kerana model terbaru ini juga dikatakan lebih canggih dan lebih lincah.

Bagi pasaran Malaysia, model ini boleh didapati dalam versi 320i dan 330i yang dipasang secara tempatan (CKD). Sebagai varian tertinggi, 330i ditawarkan dengan pakej M Sport yang merangkumi rekaan bampar yang lebih agresif dan rim 790 M berukuran 18 inci. Turut disertakan adalah sistem suspensi M Sport.

Di dalam, reka bentuk dan susun atur kabin G20 boleh dikatakan sebagai satu peningkatan berbanding model generasi sebelum ini iaitu F30. Gabungan upholsteri kulit, kemasan Tetragon Aluminium di sekitar papan pemuka dan konsol tengah serta bahan-bahan lain melahirkan suasana mewah yang sememangnya dijangka dari sebuah BMW.

Penulis secara jujurnya menyukai bentuk tombol gear baharu ini kerana ia lebih sedap dipegang namun kedudukan butang P yang kini terletak di bawah memerlukan anda melakukan lebih banyak pergerakan sebelum ia dapat ditekan. Dalam aspek ini, tombol gear BMW yang lama adalah lebih baik.

Paparan instrumen Live Cockpit Professional berukuran 12.3 inci yang terdapat pada model ini adalah satu ciri moden yang sangat penulis alu-alukan. Grafiknya jelas dan memudahkan pemandu melihat info-info yang dipaparkan, namun kedudukan tachometer dan speedometer yang terbalik sedikit sebanyak menjejaskan pemanduan, terutamanya apabila penulis hendak melihat kelajuan. Perkara ini sepatutnya boleh diatasi dengan paparan ‘head up’, namun ciri itu tidak disediakan pada model ini.

Selain rekaan yang moden dan kualiti binaan yang memuaskan, satu lagi perkara yang boleh dipuji tentang kabin G20 adalah terdapatnya lebih banyak ruang penyimpanan yang terbukti memudahkan penumpang. Bukan itu sahaja, bahagian dalaman terasa lebih luas dan lebih berbanding sebelum ini dan ruang kaki juga dirasakan lebih besar berbanding pesaing terdekatnya.

Jika anda mahukan prestasi, penulis merasakan varian 330i M Sport mampu memberikan anda kepuasan dengan 258 hp dan 400 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder. Transmisi automatik lapan kelajuan jenis ‘torque converter’ ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang. Gabungan ini tidak pernah gagal memberikan penulis sebab untuk mengukir senyuman sepanjang tempoh pandu uji.

Dengan kuasa kilas tersedia dari seawal 1,500 rpm hingga 4,400 rpm, enjin yang diberi kod nama B48 ini cukup bertenaga dan akan terus menghamburkan kuasa selama mana pedal pendikit ditekan. Prestasinya yang cukup mengujakan dilengkapkan lagi dengan bunyi yang sedap didengar. Lebih menarik lagi, ekzos berkembar pada sedan ini akan mengeluarkan bunyi ‘letupan’ kecil sekiranya enjin diperah dalam mod Sport.

Kotak gear keluaran ZF itu menepati jangkaan dalam erti kata ia mampu mengendalikan tugas menukar gear dengan lancar, tidak kira sama ada kereta sedang dipandu pada kelajuan rendah atau tinggi. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai tindak balas yang cepat jika anda menggunakan pedal penukar gear.

Bagi pengendalian pula, kehadiran sistem suspensi M Sport terbukti berjaya memberikan sedan ini kelebihan dari segi kelincahan. Dipadankan dengan stereng yang tepat, anda akan terasa lebih yakin ketika mengawal kereta ini kerana ia seolah-olah mampu memahami kehendak anda sebagai seorang pemandu. Kini penulis benar-benar faham kenapa ramai yang meminati 3 Series.

Tetapi sekiranya anda membawa penumpang, mereka pasti akan merungut tentang kekerasan suspensi kereta ini. Sistem suspensi model ini memang jelas ditala untuk pemanduan sporty dan ini bermakna BMW terpaksa mengorbankan aspek keselesaan.  Hasilnya, setiap ketidaksempurnaan pada permukaan jalan raya akan dirasakan dengan jelas terutamanya oleh penumpang belakang.

Sepanjang kereta ini berada di tangan penulis, salah satu persoalan yang kerap bermain di fikiran adalah adakah ia 3 Series yang terbaik pernah dihasilkan? Mungkin juga tetapi pemilik-pemilik 3 Series di luar sana pasti mempunyai pendapat yang berbeza. Apa yang boleh disimpulkan adalah ia antara sedan paling mengujakan penulis pandu uji setakat ini. Dari reka bentuk ke prestasinya, tidak banyak perkara negatif yang boleh penulis katakan tentang 330i M Sport ini.

Spesifikasi BMW 330i M Sport
Enjin: petrol, turbo empat silinder
Kapasiti: 2.0-liter
Kuasa: 258 hp
Tork: 400 Nm
Transmisi: automatik lapan kelajuan
0-100 km/j: 5.8 saat
Kelajuan maksimum: –
Harga: dari RM288,000

Previous post

Minyak Enjin Shell Helix ECO Dilancarkan

Next post

Kehilangan MPV Kompak

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *