Berita Auto

Maserati MC20 Jalani Ujian Musim Sejuk Di Itali

Terasa seperti sudah lama tidak kedengaran berita tentang MC20. Menurut Maserati, model itu kini sedang menjalani siri ujian ketahanan dalam cuacu sejuk yang ekstrem di Itali.

Lebih spesifik lagi, siri ujian tersebut diadakan di jalan-jalan yang dilitupi salji di sekitar Valtelinna serta di Ghiacciodromo Livigo, iaitu litar salji dan ais yang paling terkemuka di negara itu.

Ia dijalankan bagi menguji ketahanan enjin semasa penghidupan sejuk, prestasi komponen elastiknya dalam keadaan suhu rendah, serta pengendaliannya di atas permukaan licin. Bukan itu sahaja, sistem pendingin hawa, bateri, suspensi dan brek turut diuji.

Diperkenalkan pada September tahun lalu, MC20 (singkatan kepada Maserati Corse 2020) menandakan bermula era baharu bagi Maserati. Tidak seperti model terdahulu yang mendapat enjinnya daripada Ferrari, MC20 menampilkan enjin baharu yang dibangunkan sendiri oleh syarikat itu.

Enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang diberi nama Nettuno itu menghasilkan 630 hp pada 7,500 rpm dan 730 Nm dari 3,000 rpm, yang memberikannya kuasa bersamaan dengan 210 hp bagi setiap liter.

Nisbah mampatan enjin ini adalah 11:1, manakala gerek (bore) 88 mm dan lejang (stroke) adalah 82 mm. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem ‘dry sump’ yang biasa digunakan oleh supercar.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Maserati sebelum ini pernah berkata bahawa versi elektrik MC20, yang boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat dan mempunyai jarak pemanduan 323 km, juga akan diperkenalkan.

Previous post

Hyundai Palisade, Kona Facelift Bakal Dilancarkan Di Malaysia Tahun Ini

Next post

SsangYong Rexton Dikemas kini di UK

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *