Berita Auto

Porsche, Siemens Energy Mulakan Projek Perintis Bahan Api Sintetik

Era enjin pembakaran dalam mungkin akan berakhir tidak lama lagi dengan lebih banyak negara mengumumkan larangan penjualan kereta berenjin petrol dan diesel. Seperti yang diumumkan pada September lalu, Porsche mensasarkan untuk menjadi antara yang pertama membangunkan bahan api sintetik neutral-iklim atau eFuels sebagai alternatif kepada bahan api fosil untuk barisan kenderaan sedia ada mereka, termasuk model-model klasik. Bagi mencapai sasaran ini, pengeluar dari Jerman itu menjalinkan usahasama dengan Siemens Energy dan beberapa syarikat lain untuk sebuah projek perintis di Chile.

Digelar sebagai Haru Oni, projek perintis tersebut akan menyaksikan penubuhan kilang eFuels komersial berskala industri yang pertama di dunia di mana 130,000 liter bahan api sintetik dijangka dihasilkan menjelang 2022. Menurut Porsche, mereka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 55 juta liter menjelang 2024 dan 550 juta liter menjelang 2026.

Syarikat-syarikat lain yang turut terlibat dalam projek ini adalah syarikat tenaga AME, syarikat petroleum dari Chile, ENAP, serta syarikat tenaga dari Itali iaitu Enel. AME merupakan pemaju utama dan pemilik syarikat projek HIF (Highly Innovative Fuels), manakala Enel adalah penaja bersama kilang tersebut yang memfokuskan terhadap kuasa angin dan elektrolisis. ENAP pula akan menyokong projek tersebut dengan membekalkan kakitangan operasi, penyelenggaraan dan logistik.

Dengan pelaburan awal mencecah 20 juta euro, Porsche akan menjadi penerima manfaat utama bagi projek ini. Syarikat itu merancang untuk menggunakan bahan api sintetik tersebut untuk rancangan sukan permotorannya, Pusat Pengalaman Porsche dan akhirnya dalam kereta produksi mereka.

Sementara itu, Siemens Energy akan mendapat geran bernilai 8 juta euro dari Kementerian Persekutuan bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Tenaga Jerman untuk menyokong projek tersebut. Berfungsi sebagai pengintegrasi sistem, syarikat itu akan meliputi keseluruhan rantai nilai dari penjaan tenaga menggunakan turbin angin Siemens Gamesa, ke pengeluaran hidrogen hijau, hingga ke penukaran kepada bahan api sintetik.

Previous post

Jaguar F-Type Heritage 60 Edition Rai Ulang Tahun E-Type

Next post

Maklumat Lanjut Tentang Mustang Mach-E GT "Performance Edition"

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *