Berita Auto

Jaguar F-Type Heritage 60 Edition Rai Ulang Tahun E-Type

Tahun hadapan, kereta sports ikonik keluaran Jaguar iaitu E-Type akan menyambut ulang tahunnya yang ke-60. Bagi meraikan hari bersejarah itu, Jaguar telah memperkenalkan model edisi terhad F-Type Heritage 60 Edition.

Berasaskan varian R dan boleh didapati dalam bentuk Coupe dan Convertible, F-Type Heritage 60 Edition menampilkan warna Sherwood Green, warna asal E-Type yang belum pernah ditawarkan pada mana-mana model Jaguar yang lain.

Selain itu, ia juga mendapat rim aloi berukuran 20 inci dalam kemasan ‘diamond turned’, perincian krom dan hitam berkilat serta lencana E-Type eksklusif yang terletak di bawah lampu belakang.

Untuk ruang dalaman, Jaguar Special Vehicle Operations (SVO) menggunakan upholsteri kulit dua-tona Caraway dan Ebony Windsor dan kemasan aluminium pada konsol tengah yang diinspirasikan oleh cermin pandang belakang E-Type.

Perincian lain yang ada termasuklah cetakan timbul logo ulang tahun ke-60 pada perehat kepala, plak nombor siri pengeluaran dan kemasan kulit Caraway pada karpet lantai.

Seperti F-Type R versi standard, model istimewa ini dikuasakan oleh enjin supercharged 5.0-liter V8 yang menghamburkan 575 PS dan 700 Nm. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan, sekaligus membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 300 km/j.

Dihasilkan di United Kingdom, pengeluaran F-Type Heritage 60 Edition akan diterhadkan kepada 60 unit sahaja dengan harga bermula dari £122,500 (RM666,507).

Previous post

Lebih 1,700 Unit Honda CR-V Facelift Ditempah Setakat Ini

Next post

Porsche, Siemens Energy Mulakan Projek Perintis Bahan Api Sintetik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *