Motosikal / Lain Lain Roda

MV Agusta Superveloce Alpine – Jentera Eksotik Edisi Terhad

Apabila sebuah syarikat motosikal bergabung dengan sebuah pengeluar kereta untuk menghasilkan model edisi terhad, hasilnya jarang sekali mengecewakan. Lihat sahaja Ducati Diavel 1260 Lamborghini yang diperkenalkan baru-baru ini. Menarik, bukan?

Ini satu lagi contoh – MV Agusta Superveloce Alpine, sebuah motosikal edisi terhad yang lahir dari kerjasama antara MV Agusta dan Alpine. Syarikat-syarikat yang berasal dari Itali dan Perancis ini nampaknya mempunyai satu persamaan iaitu meletakkan reka bentuk yang beremosi sebagai kepentingan.

Ia bukanlah sesuatu yang tidak baik. Seperti yang anda boleh lihat, Superveloce Alpine pasti akan menarik perhatian dengan skema warna biru dan perak, tempat duduk yang dibalut Alcantara dan rim hitam yang dihasilkan dari teknologi pemesinan CNC.

Bukan itu sahaja, perincian-perincian kecil seperti logo ‘A’ istimewa, bendera Perancis dan Itali, serta tali yang diperbuat daripada kulit yang terletak pada tangki minyak membuatkan jentera ini tidak ubah seperti Alpine A110.

Seperti versi standard, Superveloce Alpine mempunyai nadi berbentuk enjin tiga silinder sebaris bersesaran 798 cc yang menjana 147 hp pada 13,000 rpm dan 88 Nm pada 10,600 rpm. Sebagai sebahagian daripada pakej ini, pembeli juga akan menerima Racing Kit yang merangkumi sistem ekzos Arrow dengan dua muncung di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri, ECU yang ditala dan pelindung tempat duduk.

Pengeluaran model ini akan diterhadkan kepada 110 unit sahaja, dengan harga 36,300 euro (RM178,124).

Previous post

Sime Darby Motors Malaysia Bekerjasama Dengan SpareXhub

Next post

Honda CB500X (2021) Tampil Tiga Warna Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *