Berita Auto

Daihatsu Perkenal Barisan Tokyo Auto Salon 2021

Bakal dianjurkan secara maya, acara Tokyo Auto Salon (TAS) 2021 mungkin kurang meriah jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini namun ini tidak menghalang Daihatsu daripada memperkenalkan beberapa rekaannya yang unik dan menarik.

Untuk tahun 2021, barisan TAS Daihatsu terdiri daripada lima kenderaan dan mengetuainya adalah Hijet Jumbo Sportza Ver. Berasaskan trak komersial ringan Hijet, model ini menampilkan gaya roadster dengan bumbung yang telah dipotong dan bed belakang ala trak pikap. Elemen sporty diserlahkan menerusi tempat duduk bucket, muncung ekzos pada bahagian sisi dan sport rim berwarna merah.

Satu lagi jentera roadster yang bakal membuat kemunculan di TAS 2021 adalah Copen Spyder Ver. Selain bumbung yang telah dibuang, serta penggunaan cermin penghadang angin yang kecil dan rekaan bahagian belakang yang unik, tidak banyak modifikasi yang telah dilakukan pada jentera ini.

Sementara itu, mereka yang meminati van camper pula pastinya gembira melihat Hijet Jumbo Camper Ver. Tidak seperti Sportza, ia tampil lebih comel dengan sepasang lampu bulat serta gabungan warna dan rim klasik. Selain itu, ia juga mempunyai rak bumbung dan penutup bahagian belakang dengan corak celoreng.

Taft Crossfield Ver. pula tidak ubah seperti Hummer versi mini dengan penampilan yang lasak. Berbeza dengan versi standard, jentera ini dilengkapi dengan sistem suspensi yang lebih tinggi, tayar off-road, rak bumbung dan cangkuk tunda pada bampar hadapan.

Akhir sekali, Daihatsu akan turut mempamerkan Thor Premium Ver. dengan komponen D-Sport. Seperti yang boleh dilihat, MPV kompak ini tampil lebih premium dengan warna biru teal, kit badan, rim besar dan rekaan gril ala Toyota Vellfire.

Previous post

Robot Pengecas Mudah Alih Volkswagen Mudahkan Pengguna EV

Next post

Apa Boleh Buat Kalau Anda Bukan Menteri Dan Masuk Lubang Jalan?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *