Berita Auto

Toyota Buka Tempahan Alphard, Vellfire 2020

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini memperkenalkan Toyota Alphard dan Vellfire yang dipertingkatkan bagi tahun 2020.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, kedua-dua model tersebut kini dibuka untuk tempahan dengan harga bermula RM465,000 bagi Alphard dan RM383,000 bagi Vellfire.

Selari dengan Strategi Pengalaman Jenama 360-darjah Baru oleh UMWT yang memberi penekanan kepada aspek Safe-T dan Connectivi-T, Alphard dan Vellfire kini hadir dengan kelengkapan tambahan berupa:

  • Toyota Safety Sense (TSS)
  • Sistem Brek Sokongan Parkir
  • Sistem Infotainmen AVX 9-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto
  • Perakam Video Digital (DVR) depan dan belakang
  • Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Toyota Safety Sense (TSS) merupakan pakej sistem keselamatan canggih yang memberi bantuan kepada pemandu untuk menghindari kemalangan atau mengurangkan kecederaan sekiranya ia berlaku. Ini termasuk Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA), Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) – Semua Kelajuan.

Sistem Brek Sokongan Parkir membolehkan pemandu memanfaatkan sistem letak kenderaan pintar untuk mengesan objek di kawasan sekitar kenderaan ketika meletak kenderaan. Sekiranya ada objek dikesan, brek akan ditekan secara automatik dan kuasa enjin akan dihadkan supaya perlanggaran boleh dielak. Sekiranya perlanggaran tetap berlaku, tindakan sistem berkenaan dapat mengurangkan kerosakan.

Selain ciri Peninjau Pandangan Panoramik (PVM) yang membolehkan pemandu memantau sekeliling kenderaan, DVR di depan dan belakang akan merakam visual secara berterusan. Di dalam situasi yang memerlukan, rakaman berkenaan boleh menjadi bahan bukti berguna kepada pemilik kenderaan.

Sistem Telematik Kenderaan (VTS) pula merupakan ciri sambungan yang menggunakan GPS/GSM untuk mengesan lokasi kenderaan pada setiap masa. Ini dapat membantu pencarian kenderaan oleh pihak polis sekiranya ia dicuri. Ciri ini juga meninjau dan merakam kelajuan dan keadaan operasi lain yang dihadapi oleh kenderaan, dengan data akan dihantar melalui emel kepada pengguna.

Dari segi penampilan, MPV premium ini boleh didapati dalam warna White Pearl C, Graphite Metallic serta Black. Luxury White Pearl CS GF hanya ditawarkan pada Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5L, manakala Burning Black CS GF hanya pada Vellfire 2.5L.

Sama seperti semua model lain yang diimport oleh UMWT, pemilik Vellfire dan Alphard akan menikmati jaminan kilang sepenuhnya serta kesediaan alat ganti yang diperlukan pada bila-bila masa. Sokongan lepas jualan juga dipastikan oleh juruteknik terlatih yang akan mengendalikan servis menggunakan peralatan dan kelengkapan khusus.

Previous post

BMW Serah 11,567 Unit Kenderaan Pada 2019

Next post

Jualan Porsche Asia Pacific Naik 41% Pada 2019

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *