Cerita Auto

Hyundai i20 N Hadir Dengan 204 PS dan Transmisi Manual

Sebulan selepas memperkenalkan i30 N versi facelift, Hyundai kini kembali dengan satu lagi ‘hot hatch’ iaitu i20 N. Model ini satu saiz lebih kecil namun ia menjanjikan tahap keseronokan yang sama dengan enjin turbo yang bertenaga dan casis yang mantap.

Bercakap tentang enjin, i20 N tampil dengan enjin turbo 1.6-liter empat silinder GDi yang mampu menjana 204 PS dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan 275 Nm dari 1,750 hingga 4,500 rpm.

Menurut Hyundai, dengan berat hanya 1,190 kg, jentera ini mempunyai nisbah berat-kuasa yang terbaik dalam kelasnya. Transmisi manual enam kelajuan yang memacu roda hadapan membantunya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

Apa yang menarik, ia bukanlah transmisi ‘kosong’ semata-mata kerana ia turut dilengkapi dengan ciri Rev Matching dan Launch Control. Hyundai juga ada menawarkan ciri N Corner Carving Differential untuk pemandu yang ingin memaksimumkan cengkaman pada roda hadapan.

i20 N mempunyai lima mod pemanduan di bawah N Grin Control System iaitu Normal, Eco, Sport, N dan N Custom. Setiap mod mempunyai karakter enjin, pendikit, ekzos dan stereng yang tersendiri dan pemandu boleh menyimpan tetapan mereka menggunakan butang N pada stereng.

Untuk memantapkan lagi casis, Hyundai menggunakan ‘anti-roll bar’ baharu, serta kombinasi gegelung dan peredam yang lebih tegar. Bukan itu sahaja, stereng turut ditala semula manakala penutup bawah badan digunakan untuk mengurangkan pergolakan udara.

Dari segi penampilan, i20 N memakai kit badan yang sporty dengan lubang ambilan udara yang besar, skirt sisi, spoiler belakang dan diffuser. Melengkapkan imejnya adalah rim aluminium berukuran 18 inci yang didatangkan dengan kemasan kelabu matte.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport serta komponen-komponen N iaitu stereng, tombol gear dan pedal logam. Turut disertakan adalah sistem pengelog data yang boleh digunakan untuk aktiviti pemanduan di litar.

Walaupun model ini dibangunkan untuk pemanduan agresif, Hyundai turut mengutamakan aspek keselamatan dengan menyertakan sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Warning, Speed Limit Assist, Lane Centering Assist, Blind-Spot Warning dan Autonomous Emergency Braking.

Previous post

Mengapa Jaguar Land Rover Menguji Bahan Baharu?

Next post

Youtuber Rusia Bakar Mercedes-AMG GT 63 S Miliknya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *