Berita Auto

Peugeot 405 Masih Dalam Produksi Selepas Lebih 30 Tahun

Tahukah anda bahawa 33 tahun selepas pelancarannya, Peugeot 405 masih dalam produksi? Ya, pengeluaran sedan itu dihentikan secara rasmi di Eropah pada 1997 namun di Iran, ia masih dipasang dan dijual oleh pengeluar tempatan iaitu Iran Khodro.

Kerjasama antara dua syarikat itu berlanjutan selama lebih dua dekad dan berakhir pada tahun lalu. Namun, ia bukanlah pengakhiran untuk 405. Untuk memberikan model itu nafas baharu, Peugeot telah menyerahkan perjanjian pengeluaran kepada Azermash yang merupakan pengeluar auto terbesar di Azerbaijan.

Di bawah syarikat itu, 405 akan dijual sebagai Khazar 406. Walaupun ia bukanlah model 406 yang sebenar, Khazar 406 mempunyai reka bentuk bahagian hadapan yang sama dengan jeriji berkembar dan lubang ambilan udara pada bampar hadapan.

Sedan keluaran Azerbaijan itu akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.8-liter dengan 99 bhp atau turbodiesel yang menjana 104 bhp, kedua-duanya patuh piawaian Euro 5. Tidak kira enjin apa yang dipilih, Khazar 406 didatangkan dengan transmisi automatik yang menggerakkan roda hadapan.

Peugeot 406

Sedan itu turut didatangkan dengan beberapa ciri keselesaan seperti sistem pendingin hawa, tempat duduk hadapan boleh laras, sensor parkir belakang, pemain CD dan port USB. Dengan harga jualan kira-kira £7,800 (RM42,630), ia mempunyai harga yang hampir sama dengan Perodua Myvi atau Proton Persona baharu.

Tempoh perjanjian tersebut tidak diketahui namun ia akan menyaksikan Azermash menghasilkan 10,000 unit Khazar 406 setahun. Sebahagian daripadanya akan dieksport ke negara-negara jiran termasuk Iran.

405 merupakan salah satu sedan keluaran Peugeot yang paling laris dengan jualan mencecah lima juta unit di seluruh dunia. Pada 1988, model tersebut dinobat sebagai Kereta Tahunan dengan memperoleh markah tertinggi daripada 54 juri.

Selain di Perancis, United Kingdom, Iran dan Azerbaijan, 405 juga pernah dipasang di beberapa negara lain seperti Zimbabwe, Mesir, Chile, Argentina, Poland, Taiwan dan Thailand.

Previous post

BMW Malaysia Lancar Program Servis Dengan Minyak Premium Shell Helix

Next post

Aston Martin Vantage Dan DBS Superleggera Dapat Edisi 007

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *