Berita Auto

Mercedes-Benz C200 Coupe AMG Line Dilancarkan Dengan Enjin Baharu

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan C200 Coupe AMG Line yang dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder baharu.

Menggantikan enjin EQ Boost 1.5-liter hibrid sebelum ini, enjin tersebut menghasilkan kuasa yang lebih tinggi iaitu 204 hp dan 300 Nm. Transmisi automatik 9G-Tronic membolehkan sedan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Dari segi penampilan, model ini tampil dengan kit badan AMG Line yang merangkumi bampar hadapan dan belakang AMG, kemasan berlian pada jeriji radiator serta rim AMG berukuran 18 inci.

Untuk ruang dalaman pula, tempat duduk dibaluti upholsteri kulit Artico manakala stereng sport multifungsi pula menerima kemasan kulit Nappa. Turut disertakan adalah ‘paddle shifter’, pedal sport AMG dan karpet AMG.

Sistem multimedia pula terdiri daripada paparan media berukuran 10.25 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci, berserta ciri Android Auto, Apple CarPlay dan sistem navigasi berasaskan kad SD.

Satu lagi penambahan yang ada pada C200 Coupe AMG Line adalah ciri Mercedes me connect yang membolehkan pemilik melakukan perkara seperti membuka kunci pintu, menghidupkan enjin dan memeriksa tahap minyak secara kawalan jauh menerusi aplikasi telefon pintar.

Selain itu, Mercedes me connect turut menawarkan perkhidmatan panggilan kecemasan (E-call), diagnostik kenderaan, kawalan suhu pra-kemasukan dan navigasi prediktif.

Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pemilik perlu mendaftar dan membuat akaun peribadi Mercedes me di https://www.mercedes-benz.com.my/mercedes-me atau menerusi aplikasi Mercedes me. Wakil pengedar Mercedes-Benz akan memadankan akaun pengguna kepada kereta untuk mengaktifkan perkhidmatan tersebut.

Mercedes-Benz C200 Coupe AMG Line ditawarkan pada harga RM336,129.38 (atas jalan termasuk insurans). Menerusi pembiayaan Agility Financing, ia boleh dimilik dengan ansuran bulanan bermula RM4,288.

Previous post

Mazda CX-9 Dapat Skrin Infotainment Lebih Besar

Next post

Kia Carnival Generasi ke-4: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *