Berita Auto

VOTY 2020//Kereta Kompak Tahunan – Toyota Corolla

Toyota Corolla Altis baharu dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu dalam versi CBU dengan enjin NA 1.8-liter yang dibawa dari model terdahulu. Walaupun dikuasakan oleh enjin lama, model generasi ke-12 ini tampil dengan reka bentuk yang lebih segar dan yang lebih penting, ia dibina di atas platform Toyota New Generation Architecture (TNGA) yang telah banyak menerima pujian.

Kelebihan casis baharu itu dapat dirasakan ketika sesi pandu uji media yang bermula dari Shah Alam ke Genting Highland. Semasa mendaki di selekoh, Corolla menunjukkan tahap keseimbangan yang baik dan memuaskan hati. Semasa di lebuh raya, enjinnya terbukti mampu membekalkan kuasa yang diperlukan namun seperti yang dijangka, ia sentiasa perlu dikerah semasa melakukan pendakian.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan dan bantuan pemandu Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam. Bagi kami, ciri-ciri ini sahaja menjadikan Corolla Altis berbaloi untuk dimiliki.

Secara keseluruhannya, tidak banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai model ini kecuali ini sebuah sedan yang mampu melakukan tugasnya dengan baik. Ketiadaan enjin turbo seperti pesaingnya bukanlah satu kelemahan, malah boleh dianggap sebagai satu kelebihan dari segi kebolehpercayaan dalam jangka masa panjang.

Spesifikasi Toyota Corolla 1.8G

Enjin: NA empat silinder, DOHC
Kapasiti: 1,798 cc
Kuasa: 137 hp @ 6,400 rpm
Tork: 172 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: CVT
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM139,192

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

Anugerah VOTY LIVE Di FB DSF.my Pada 9 Julai 2020 11 pagi

Next post

VOTY 2020//Crossover Tahunan - Mazda CX-30

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *