Cerita Auto

VOTY 2020//Crossover Tahunan – Mazda CX-30

Ini merupakan model CX-30 yang pertama dalam sejarah Mazda. Melihat kepada namanya, anda mungkin fikir ia mempunyai banyak persamaan dengan CX-3 tetapi ia sebenarnya merupakan versi crossover kepada Mazda3 generasi keempat yang diperkenalkan di peringkat global pada akhir 2018. Dari segi saiz, model ini diposisikan di antara CX-3 dan CX-5 dalam barisan SUV yang ditawarkan oleh Bermaz Motor.

Seperti Mazda3, CX-30 dibina berasaskan platform Skyactiv generasi baharu yang telah menerima penambahbaikan secara menyeluruh. Ia bukan sahaja lebih baik dari segi pemanduan, malah mempunyai rekaan luaran dan dalaman yang lebih premium dan berkualiti berbanding model-model Mazda yang masih menggunakan platform Skyactiv generasi terdahulu.

CX-30 ditawarkan di Malaysia dalam versi CBU yang diimport sepenuhnya dari Jepun. Ini menjadikannya lebih mahal berbanding CX-5 dan antara yang termahal dalam segmennya namun ianya berbaloi kerana kemewahan dan kelengkapan yang ditawarkan oleh CX-30 tidak begitu jauh ketinggalan berbanding crossover buatan Eropah yang lebih mahal.

Ini dapat dilihat menerusi rekaan luarannya yang premium dan ruang dalamannya yang kemas. Sebaik sahaja masuk ke dalam, anda akan dapat merasakan tahap kualiti material yang digunakan seolah-olah lebih tinggi jika dibandingkan dengan model-model CKD. Pemanduannya juga memuaskan hati dengan enjin dan transmisi yang cekap, ditambah pula dengan kehadiran sistem GVC Plus yang membantu menjadikannya lebih stabil.

Spesifikasi Mazda CX-30 2.0 SkyActiv-G

Enjin: 16-injap, empat silinder DOHC
Kapasiti: 1,998 cc
Kuasa: 162 hp @ 6,000 rpm
Tork: 213 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Skyactiv-Drive 6 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: 196 km/j
Harga: dari RM143,059

Spesifikasi Mazda CX-30 1.8 SkyActiv-D

Enjin: diesel, empat silinder DOHC
Kapasiti: 1,759 cc
Kuasa: 114 hp @ 4,000 rpm
Tork: 270 Nm @ 1,600 rpm
Transmisi: Skyactiv-Drive 6 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: 183 km/j
Harga: RM172,943.59

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

VOTY 2020//Supercar Tahunan - Porsche 911 Carrera S

Next post

Toyota Corolla Cross - Apabila Corolla Bertemu SUV

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *