Berita Auto

VOTY 2020//Supercar Tahunan – Porsche 911 Carrera S

Untuk anugerah tahun ini, supercar yang menjadi pilihan kami adalah Porsche 911 Carrera S generasi 992 yang dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun lalu. Secara umumnya, jentera dari Stuttgart ini menunjukkan bahawa ia jauh lebih mudah dipandu dan tidak menakutkan seperti supercar-supercar lain yang pernah kami pandu uji.

Untuk generasi ini, Porsche mengemaskini jentera ikonik ini dan menjadikannya lebih baik daripada sebelum ini dengan penggunaan aluminium yang menyeluruh pada struktur dan badan, suspensi yang telah ditala dan enjin yang lebih responsif. Buat pertama kalinya, 911 didatangkan dengan saiz tayar yang berbeza iaitu 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.

Model ini juga dilengkapi dengan tombol Mod Selector pada bahagian kanan stereng yang membolehkan pemandu menukar mod pemanduan tanpa perlu melepaskan tangan dari stereng. Menerusi butang ini juga pemandu boleh mengaktifkan Sport Response di mana enjin akan bekerja lebih keras untuk 20 saat.

Walaupun ia tidak menakutkan seperti jentera berenjin V8 dan keatas, 911 Carrera S sebenarnya sudah cukup laju dan enjinnya yang ligat mampu membuatkan sesiapa sahaja yang memandunya tersenyum girang. Kelajuan bukanlah satu-satunya kekuatan 911 kerana ia juga mempunyai tahap respon yang tinggi dan mampu berkomunikasi dengan pemandu dengan baik. Bagi kami, ini lah resipi yang perlu ada pada sebuah supercar.

Spesifikasi Porsche 911 Carrera S

Enjin: turbo enam silinder rata
Kapasiti: 2,981 cc
Kuasa: 444 hp @ 6,500 rpm
Tork: 530 Nm @ 2,300-5,000 rpm
Transmisi: PDK lapan kelajuan
0-100 km/j: 3.5 saat dengan Sports Chrono Pack
Kelajuan maksimum: 308 km/j
Harga: dari RM1.15 juta

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

Anugerah VOTY LIVE Di FB DSF.my Pada 9 Julai 2020 11 pagi

Next post

VOTY 2020//Crossover Tahunan - Mazda CX-30

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *