Berita Auto

300,000 Rakyat Malaysia Dibenarkan Rentas Negeri Dari 7-10 Mei

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih daripada 300 ribu kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara termasuk rangkaian lebuh raya PLUS sepanjang tempoh Gerak Malaysia bermula pada cuti perayaan Hari Wesak dari 7 hingga 10 Mei.

Inisiatif Gerak Malaysia ini membolehkan orang ramai yang sebelum ini terkandas di negeri-negeri lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan berhasrat bergerak pulang ke rumah masing-masing untuk kembali bekerja.

“Pada hari pertama (7 Mei), pemohon Gerak Malaysia yang telah mendapat kebenaran akan bergerak pulang dari Kuala Lumpur ke destinasi masing-masing. Hari kedua (8 Mei) melibatkan perjalanan mereka yang terkandas dari Perak, Johor dan Kelantan, manakala pada 9 Mei pula melibatkan mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Sementara itu, pada hari terakhir Gerak Malaysia pada 10 Mei (Ahad) pula adalah bagi mereka yang membuat perjalanan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk kembali semula ke rumah masing-masing,” jelas Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS.

Menurut PLUS, urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pelanggan di lorong tol tidak lagi dibenarkan. Pemandu dinasihatkan untuk memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

Selaras dengan Prosedur Operasi Standard yang telah diumumkan oleh pihak PDRM, pengguna lebuh raya hanya dibenarkan untuk berhenti rehat di dalam kenderaan masing-masing apabila tiba di R&R, hentian sebelah atau plaza tol. Mereka hanya dibenarkan untuk keluar dari kenderaan untuk menggunakan kemudahan tandas awam sahaja.

Semua surau di R&R juga masih ditutup dan tiada kemudahan pembelian makanan dan minuman di gerai-gerai R&R disediakan sepanjang tempoh Gerak Malaysia. Stesen minyak di lebuh raya PLUS akan beroperasi dalam tempoh terhad bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja.

Previous post

Pusat Servis MODENAS Dibuka 4 Hari Seminggu

Next post

Mazda Patut Menghasilkan Roadster RX-7 Efini Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *