Gaya Hidup

Syafiq Kyle, Ain Edruce Sedia Beraksi Dalam Toyota Vios Challenge Musim ke-3

Selepas sebulan menjalani sesi latihan intensif, selebriti Syafiq Kyle dan Ain Edruce diberi lampu hijau untuk bertanding dalam Toyota Gazoo Racing Festival musim ke-3.

Toyota Vios Challenge

Dua personaliti muda itu bakal membuat penampilan sulung mereka dalam kelas Promotional perlumbaan Toyota Vios Challenge pusingan 1 yang akan diadakan pada 6 dan 7 September ini di Kuala Terengganu.

Diadakan di litar jalanan sepanjang 1.65 km yang dibina khas di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, perlumbaan Toyota Vios Challenge bakal menyajikan saingan hangat antara selebriti, pelumba amatur dan pelumba profesional dalam tiga kelas berasingan iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting.

Toyota Vios Challenge

Seramai 10 selebriti tempatan akan bersaing sesama sendiri dalam kelas Promotional, dengan pelakon terkenal Diana Danielle kembali sebagai juara bertahan. Nama-nama besar lain yang akan turut menyertai perlumbaan kali ini termasuklah Shukri Yahya, Shawn Lee, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali dan Wany Hasrita.

“Ia merupakan pengalaman yang luar biasa dan saya banyak belajar dalam sesi latihan dari memahami garisan perlumbaan yang betul, mengenal pasti titik brek, berada dalam gear yang betul di selekoh, cara mempertahankan garisan perlumbaan saya dan cara untuk kekal tenang dan fokus ketika memandu di bawah tekanan,” kata Ain yang berusia 28 tahun.

Pelakon, model dan penyampai itu berkata bahawa beliau telah mula serasi dengan Vios baru, menggambarkan jentera itu sebagai sangat perseptif dari segi pengendalian dan kestabilan pada kelajuan tinggi. Para pelumba dalam ketiga-tiga kelas akan mengemudi jentera lumba Vios dalam format ‘one-make’ yang menekankan kemahiran memandu dan pengalaman dan bukannya modifikasi.

Toyota Vios Challenge

Sementara itu, pelakon Syafiq Kyle yang berusia 27 tahun tidak merasa gentar tetapi akan mengambil langkah berhati-hati dalam perlumbaan pertamanya di litar jalanan.

“Saya bersedia untuk cabaran yang akan datang tetapi saya percaya aspek paling mencabar bagi perlumbaan ini adalah bersaing di atas litar jalanan. Saya perlu berjaga-jaga memandangkan semua sesi latihan saya dijalankan di atas litar lumba di mana ianya lebih selamat untuk melakukan kesilapan. Di atas litar jalanan, tiada ruang untuk kesilapan – sekali terlanggar penghadang konkirt dan anda akan terus terkeluar dari perlumbaan.”

Menurut bekas finalis Hero Remaja 2011/12 dan pelakon Gol & Gincu itu, strategi bagi sepanjang musim ini adalah sentiasa kekal tenang, pandu secara konsisten tetapi berdaya saing, lakukan serangan jika terdapat peluang, elakkan melanggar penghadang konkrit dan cuba untuk menghabiskan setiap perlumbaan dengan mata berharga.

Meet the celebs

Untuk peminat sukan permotoran di Kuala Terengganu, keseronokan TGR Festival tidak terhad kepada aksi dan drama di atas litar sahaja. Pengunjung juga boleh memandu uji pelbagai model baru Toyota, selain menyaksikan aksi drift oleh pemandu dari Jepun, bermain permainan simulator perlumbaan, menyaksikan persembahan dari barisan artis dan selebriti, menyertai cabutan bertuah serta beramah mesra dengan artis kelas Promotional dama sesi Superfans.

Pusingan pertama TGR Festival dan Toyota Vios Challenge musim ke-3 akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 6 dan 7 September 2019, dari 9 pagi. Masuk adalah percuma.

Previous post

Cycle & Carriage Bintang Mutiara Damansara Ketengah Konsep Baru

Next post

Porsche Taycan Catat 7 Minit 42 Saat di Neraka Hijau

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *