Bisnes

Perodua Sambut Baik Keputusan MoF Untuk Lanjutkan Tempoh Pendaftaran Kereta Baharu

Perodua menyambut baik pengumuman Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini yang membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka ditempah sebelum 30 Jun 2022.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 20 Jun 2022, mereka yang telah membuat tempahan sebelum 30 Jun 2022 boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan pada atau sebelum 31 Mac 2023.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini kerana ia memberi ruang kepada industri dan pasaran untuk memenuhi permintaan para pengguna dan pada masa yang sama memberi masa kepada kami untuk mengatasi pelbagai isu sedia ada,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

Beliau berkata antara isu yang masih memberi kesan kepada industri automotif tempatan termaksuklah impak Covid-19, kekurangan komponen dan kekurangan tenaga kerja.

Perodua Aruz

“Isu-isu ini masih lagi ditangani yang mana Perodua dan pembekal kami sedang mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dan lanjutan masa untuk mendaftarkan kenderan yang ditempah memberi kami ruang yang amat diperlukan untuk mengatasi isu-isu tersebut,” kata Dato’ Zainal.

Beliau menambah, bagi para pelanggan Perodua, pengumuman ini memberi jaminan bahawa mereka akan dapat menikmati insentif pengecualian cukai jualan yang telah membantu industri sejak tahun 2020.

“Setakat ini, kami cuba memenuhi pesanan tertunggak yang masih tinggi dan kami amat menghargai para pelanggan kami di atas kesabaran mereka,” kata Dato’ Zainal.

Mengenai penghantaran setakat ini, beliau berkata Perodua telah mendaftarkan 106,179 kenderaan antara Januari dan Mei tahun ini, iaitu 10% lebih daripada 96,281 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Daripada jumlah 106,179 tersebut, Perodua Myvi merupakan model paling laris dengan 31,689 unit didaftarkan, diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 24,024 unit dan Perodua Bezza sebanyak 23,336 unit.

Previous post

Mampukah Anda Membayar RM138,888 Untuk Kereta Elektrik ORA Cat

Next post

Wuling Jia Chen Dilancarkan Di China Pada Harga RM45k-RM65k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *