Motosikal / Lain Lain Roda

Ducati Panigale V4 SP2 Dapat Kit Baharu, Enjin Lebih Berkuasa

Ducati telah mendedahkan Panigale V4 SP2 baharu, kurang dua tahun selepas jenama itu memperkenalkan Panigale SP. Superbike litar itu mengekalkan livery Winter Test dalam warna hitam matte dan merah namun memperoleh beberapa penambahbaikan mekanikal yang sesuai dengan gelaran ‘Sport Production’ yang digunakannya.

Menurut Ducati, versi SP2 mempunyai sistem brek yang lebih berkuasa, rim karbon yang ringan, pacuan akhir (final drive) dan klac kering dari jentera WorldSBK, serta tempat letak kaki perlumbaan dan beberapa komponen yang diperbuat daripada karbon.

Ia juga didatangkan standard dengan kit litar yang merangkumi penutup aluminium billet untuk menggantikan cermin pandang belakang, kit untuk membuang pemegang nombor plat dan penutup klac karbon.

Panigale V4 SP2 dikuasakan oleh enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 yang dibangunkan dengan pengetahuan daripada MotoGP. Menurut pengeluar motosikal dari Itali itu, enjin tersebut telah dipertingkatkan bagi mendapatkan output kuasa yang lebih tinggi serta respon pendikit yang lebih baik.

Digabungkan dengan pemetaan baharu, enjin bertaraf Euro 5 itu menghasilkan 215.5 hp pada 13,000 rpm dan 123.6 Nm pada 9,500 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5 hp berbanding Panigale V4 2021. Lengkung tork gear demi gear dan empat mod kuasa (Full, High, Medium dan Low) membolehkan penunggang memanfaatkan sepenuhnya potensi enjin itu.

Selain itu, SP2 turut memperoleh pacuan akhir ringan dengan rantai 520 dan klac kering STM-EVO SBK yang memberikan fungsi anti-loncatan yang lebih efektif dan juga ‘off throttle’ yang lebih lancar berbanding klac rendaman minyak pada V4 S.

Sistem suspensi pula merangkumi fork kawalan elektronik Öhlins NPX25/30 pada bahagian depan, penyerap hentak Öhlins TTX36 pada bahagian belakang dan peredam stereng elektronik, juga keluaran Öhlins. Dengan sistem Smart EC 2.0 generasi kedua dengan OBTI (Objective Based Tuning Interface), penunggang boleh menguruskan sistem suspensi dengan lebih intuitif.

Untuk roda pula, SP2 dilengkapi dengan rim karbon lima batang yang dikatakan 1.4 kg lebih ringan berbanding unit aluminium tempaan yang digunakan oleh V4 S, di samping dapat mengurangkan inersia sebanyak 26% pada bahagian depan dan 46% pada bahagian belakang.

Kuasa membrek dibekalkan oleh angkup Brembo Stylema R pada bahagian depan. Ia dioperasikan oleh pam radial Brembo MCS (Multiple Click System) yang membolehkan penunggang melaraskan feel brek menerusi tiga konfigurasi.

Akhir sekali, panel instrumen SP2 mempunyai mod Track Evo yang diinspirasikan dari MotoGP. Dalam skrin ini, tachometer bergerak pada skala mendatar pada bahagian paling atas manakala kedudukan gear pula diletakkan pada bahagian tengah. Semua kawalan elektronik dipaparkan menerusi empat sektor berbeza pada bahagian kanan skrin, sementara chronometer, jumlah lap dan kelajuan pada bahagian kiri.

Previous post

Harga Tayar Akan Naik Sebanyak 30 Peratus Pada 2022

Next post

Kilang Hyundai Motor Indonesia Dibuka Dengan Rasminya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *