Berita Auto

Chery Omoda 5 Bakal Masuk Pasaran Malaysia?

Dalam satu siaran akhbar yang diterima hari ini, Chery Malaysia mendedahkan bahawa crossover kompak baharu Chery iaitu Omoda 5 bakal memasuki pasaran Malaysia selepas Australia, Eropah dan Rusia. Namun, tiada perincian lanjut diberikan setakat ini.

Omoda 5 merupakan model global pertama di bawah siri Omoda dan produk pertama yang dihasilkan di bawah era Chery 4.0. Unit pertamanya baru sahaja keluar dari kilang ibu pejabat Chery yang terletak di Wuhu, wilayah Anhui, China, 8 Februari lalu.

Seperti yang boleh dilihat, reka bentuk Omoda 5 jauh lebih moden dan menarik jika dibandingkan dengan produk-produk keluaran Chery sebelum ini. Bahagian depan crossover itu menampilkan gril tanpa bingkai, serta lampu utama yang terbahagi kepada dua – lampu nyalaan siang berbentuk pada bahagian atas dan lampu Matrix LED pada bahagian bawah.

Di belakang, terdapat rekaan lampu yang tajam yang disambungkan dengan trim berwarna hitam di tengah-tengah pintu tailgate. Model ini didatangkan dengan rim dua tona berukuran 18 inci.

Sementara itu, ruang dalamannya pula menampilkan suasana yang premium dengan kehadiran skrin melengkung yang menempatkan dua paparan HD berukuran 10.25 inci dan tempat duduk sport. Tuil gear dan tombol kawalan untuk sistem infohibur diletakkan pada konsol tengah yang tinggi.

Omoda 5 dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter empat silinder dengan 197 hp dan 290 Nm, yang dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Menurut laporan, Chery turut sedang membangunkan hibrid plug-in dan elektrik.

Dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm dan tinggi 1,585 mm, dengan tapak roda 2,630 mm, dimensi Omoda 5 dilihat lebih dekat dengan model-model seperti Toyota Corolla Cross dan Honda CR-V. Namun jangkaan kami, ia akan didatangkan dengan harga yang menyaingi Honda HR-V, Proton X50, Hyundai Kona dan Mazda CX-3.

Previous post

Great Wall Motors Beli Satu Lagi Kilang Kereta, Kali Ini Di Brazil

Next post

Subaru BRZ, Toyota GR86 Kini Ditawarkan Dalam Versi Cup Car Basic

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *